SEDUTAN episod 16 yang tular di media sosial.
Sudirman Mohd Tahir


WALAUPUN dikecam dan dicaci, pelakon serba boleh, Noorkhiriah puas melakonkan watak Aishah dalam drama bersiri fenomena, Nur yang berakhir Rabu lalu.

Noorkhiriah, 39, atau nama sebenarnya Noorkhiriah Ahmad Shapie berkata, dia berharap kemunculannya itu akan terus membuka ruang untuk dia berlakon selepas setahun tidak terbabit dalam penggambaran.

"Sejak dulu lagi saya pernah ditawarkan watak seperti Aishah atau watak jahat lain, tetapi ketika itu bukan era media sosial. Jadi, penonton tidak bercakap mengenainya. Berbanding watak Aishah dalam drama ini, orang memang benci dan geram.

"Setiap hari saya dapat komen dan mesej maki hamun. Namun, saya tidak ambil hati kerana berasakan ia sekadar luahan emosi kepada watak Aishah. Di luar, saya masih Noorkhiriah yang sama.

"Saya puas dapat melakonkan watak ini. Dalam watak ini saya lepas habis dan meletakkan sepenuh tenaga seperti yang dipertontonkan. Saya berharap penonton terhibur," katanya kepada Harian Metro.

Noorkhiriah yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 bersyukur kerana diberikan watak itu sekali gus menepis dakwaan dia sudah berhenti berlakon.

"Pengarah iaitu Ijat (Shahrulezad Mohamedin) menghubungi saya pada November tahun lalu dan bertanya sama ada saya masih berlakon atau tidak. Ijat berkata, dia ada watak menarik dan menceritakan mengenai Aishah.

"Saya pula sudah lama tidak bekerja dengan Ijat, malah sepanjang tempoh tidak terbabit dengan penggambaran saya sentiasa menunggu naskhah yang bagus. Alhamdulillah, watak Aishah adalah rezeki saya.

"Malah, untuk semua yang terbabit dalam Nur kami tidak menjangka sambutan diberikan sehebat ini. Kejayaan ini berkat kerja berpasukan semua. Malah, sesama pelakon kami saling memberi dan tidak 'makan' lakonan antara satu sama lain," katanya.

Nur yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3 memulakan tayangan pada 14 Mei lalu dan berakhir Rabu lalu.

Untuk rekod, hingga episod 12, Nur berjaya mencatat jumlah penonton 9 juta dan pada episod 16 sahaja, ia ditonton 2.5 juta penonton menerusi episod tular mengenai sup bunjut.

Selain Noorkhiriah, Nur membariskan pelakon hebat lain seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 2:09 PM