JAMAL rasa bahagia ditemani isteri, anak penuhi undangan persembahan pada pagi raya.
JAMAL bersama Zai dan Osama.
Ramlah Zainal


Selepas 12 tahun meniti kehidupan solo, pastinya kedatangan Syawal tahun ini cukup bermakna buat Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, kerana dapat meraikannya bersama isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir ini, kedatangan Syawal sangat dinantikan selepas mereka selamat diijabkabulkan pada 1 April tahun lalu.

“Sebenarnya ia tahun kedua kami beraya sama selepas bergelar suami isteri. Namun, pernikahan kali keempat ini tidak ramai yang tahu kerana ia dirahsiakan daripada peminat dan pihak media ketika itu.

“Sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah kerana saya sudah berkongsi berita pernikahan kami dengan semua pihak,” katanya.

Pada sesi fotografi eksklusif yang diatur RAP di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi baru-baru ini, Jamal mengakui hidupnya tidak sunyi lagi kerana ada isteri yang sentiasa menemani di sisi.

“Saya juga sudah ada teman untuk menemani ke mana saja terutama apabila memenuhi undangan persembahan ke serata tanah air.

“Rumah tangga kami bahagia. Namun, saya tidak menafikan ada turun naik dalam melayari alam rumah tangga kerana perbezaan usia kami sangat jauh iaitu 35 tahun,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pula, kata Jamal, seperti tahun sebelumnya, jadualnya padat dengan undangan persembahan sepanjang bulan ini.

“Kami sambut de­ngan sederhana saja setiap tahun. Tahun ini lebih meriah kerana kami sekeluarga berpakaian sedondon pada pagi raya.

“Isteri dan anak-anak turut menemani saya memenuhi undangan persembahan pada pagi raya.

“Pengertian Aidilfitri bagi saya ialah apabila dapat menghiburkan orang ramai ketika persembahan sempena meraikan hari kemenangan umat Islam itu,” katanya.

Selepas beraya bersama isteri di kediaman­nya di Danau Kota, Kuala Lumpur, Jamal pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak.

“Saya juga terbabit de­ngan persembahan di Ipoh pada hari raya pertama dan selepas itu beraya ke rumah keluarga sebelah isteri di Kulim, Kedah,” katanya.

Lagu raya duet bersama Osama

Bakat nyanyian Jamal juga diwarisi anak sulungnya, Osama Yamani, 17.

Menurut Jamal, dia tidak menghalang Osama terbabit dalam bidang nyanyian asalkan tidak menjejaskan pelajarannya.

“Osama masih menuntut di Sekolah Seni di Johor Bahru dan kini sibuk membuat persiapan termasuk kelas tambahan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Oleh itu, saya pastikan Osama memberi fokus pada SPM terlebih dulu sebelum mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik dan nyanyian.

“Saya mahukan dia menjadi pemuzik berilmu pada masa depan. Selain Osama, Zaki juga akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Terbaru, Jamal juga mempertaruhkan lagu raya duet bersama anak­nya, Osama berjudul Hari Raya Menjadi Saksi yang sudah selesai pembikinannya lebih tiga minggu lalu.

“Lagu raya duet ini mendapat sentuhan Habsah Hassan dan Lan Laga. Saya berharap ia mendapat sambutan baik daripada peminat. Kami juga sudah mula mempromosikan lagu duet ini,” katanya.

Selain Osama, Jamal juga memiliki seorang lagi anak, Ahmad Zaki Yamani, 12, hasil dari perkahwinan terdahulu dan kini bersama bekas isterinya di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:13 AM