Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Sharifah Sakinah yang hamil anak kedua selepas empat bulan bersalin secara pembedahan pada Mei tahun lalu dinasihatkan doktor untuk menggugurkan kandungan.

Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 29, berkata ia atas faktor keselamatan dan kesihatan.

"Ketika itu, memang tidak menjangka hamil anak kedua. Saya sangat gembira. Namun, apabila dinasihati untuk buang, saya sedih. Saya diberi tempoh seminggu dan saya makan nenas untuk keluarkannya.

"Sebenarnya, perkara itu sangat berisiko kerana membabitkan kesihatan dan keselamatan. Malah, doktor pun tidak mahu ambil risiko.

"Kalau bersalin secara pembedahan, paling 'gengster' pun untuk hamil anak kedua adalah selepas enam bulan.

“Tetapi ketika itu, anak pertama saya baru empat bulan selepas dilahirkan melalui pembedahan pada 24 Mei tahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sakinah, pada waktu itu, dia bersedia menimang cahaya mata kedua.

"Pada masa itu, saya okey saja untuk anak kedua. Saya bersedia menjaga dan menguruskan anak meskipun jarak usia mereka dekat. Malah, semua aktiviti seni dan lakonan akan ditunda.

"Namun, untuk sekarang belum bersedia sebab saya sangat sibuk. Malah, masa bersama anak pun terhad. Insya-Allah kalau tahun depan semuanya okey dan kerja pun tak banyak, baru boleh fokus tambah anak lagi," katanya.

Sakinah dan suaminya, Aliff Adha, 29, juruterbang, mendirikan rumah tangga pada Mac 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 3:10 PM
Sharifah Sakinah bersama suami, Aliff Adha dan anak perempuannya, Anais Adha. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD