Alvin (kiri) dan Emma terima banyak komen dan kecaman. FOTO fail HM
Ramlah Zainal


PELAKON dan penyanyi, Alvin Chong tidak mahu ambil pusing kecaman netizen membabitkan video parodi menari bersama pelakon, Emma Maembong yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Menurut Alvin, dia juga banyak menerima komen dari pelbagai pihak yang menghantar Direct Message padanya.

“Bukan saja Emma, saya turut menerima kecaman dari netizen membabitkan video Tik Tok itu.

“Saya boleh terima jika teguran secara baik tetapi kalau melampau saya sekat komen atau buat tidak tahu saja.

“Tapi bukan semua komen negatif kerana ramai juga peminat yang menyukai video itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon dikenali menerusi drama Awak Suka Saya Tak itu, dia juga mendapat kebenaran Emma memuat naik video parodi itu di laman Instagram.

“Saya mempunyai ramai kawan Melayu dan menghormati agama Islam. Sebab itu setiap apa yang dilakukan saya akan bertanya pandangan mereka dulu.

“Selain untuk mempromosikan drama Awak Suka Saya Tak Raya, video Tik Tok itu sekadar bahan hiburan semata-mata,” katanya.

Ditanya sejauh mana hubungan dengan Emma pula, Alvin memberitahu, mereka hanya berkawan baik dan tidak lebih dari itu.

“Setiap kali ditanya itulah jawapan saya. Saya akui Emma memang kawan perempuan yang paling rapat setakat ini.

“Persahabatan kami terjalin sejak bergandingan dalam drama Awak Suka Saya Tak sampailah sekarang,” katanya.

Terdahulu, Emma menerima kecaman teruk dari netizen apabila video parodi menari bersama Alvin yang di muat naik di laman Instagramnya, beberapa hari lalu.

Ada segelintir netizen mendakwa perbuatan Emma itu tidak manis untuk wanita berhijab.

Lebih teruk lagi, ada netizen menuduh Emma memalukan agama Islam kerana tergelek gelek walaupun berhijab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 4:43 PM