X
FAIZAL Tahir.
FAIZAL Tahir.
Georgie Joseph

Penyanyi Faizal Tahir kini nampaknya lebih selesa bekerja secara senyap dan membataskan kemunculan depan khalayak.

Namun, penyanyi lagu Assalamualaikum ini terikat dengan pelbagai komitmen malah fokusnya bukan sekadar menghasilkan lagu. Apa yang pasti, ada saja aktiviti yang mengisi hari-harinya.

Hal itu diakui sendiri Faizal yang mencari keseimbangan dalam hidupnya.

Menurutnya, keseimbangan sangat penting jika mahukan kehidupan yang lebih produktif.

“Misi saya sekarang semua perkara kena seimbang. Bukan sahaja dalam muzik tetapi juga kehidupan peribadi. Maklumlah, keluarga semakin besar.

“Selain itu, mutakhir ini saya banyak menumpukan perhatian terhadap kelangsungan pergerakan Faithmen. Dalam pada berkarya, saya mahu dedikasikan jiwa untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Keseimbangan itu turut memberi kesan dalam coraknya berkarya ketika ini. Dia tidak mahu terperangkap dalam zon selesa apatah lagi menyentuh soal lagu.

“Saya tidak mahu cakap lagu yang dihasilkan sekarang mesejnya lebih kepada kemanusiaan atau ketuhanan semata-mata. Akan ada juga lagu cinta dalam album saya seterusnya.

“Sudah jadi prinsip saya tidak suka ulang apa yang pernah saya buat sebelum ini. Contohnya lagu Mahakarya Cinta, biarlah hanya satu itu sahaja pernah saya hasilkan dan nyanyikan.

“Kalau ada lagu yang sedap namun mirip dengan karya terdahulu, saya rela lepaskannya kepada penyanyi lain. Namun, saya akan pastikan ia diberi kepada penyanyi yang boleh menyampaikannya dengan baik,” katanya.

Aktif terbabit dengan aktiviti kerajaan terdahulu, Faizal berkata setiap tawaran disambut baik asalkan bawa kebaikan.

Tegas Faizal, dia tidak pro terhadap mana-mana pihak seperti yang mungkin diperkatakan umum.

“Saya tidak kisah bekerja dengan sesiapa sahaja asalkan apa yang saya lakukan itu bawa kebaikan bersama. Tidak terlintas pun untuk saya campur adukkan dengan mana-mana pengaruh.

“Tugas saya sebagai pemuzik adalah tampil dengan karya yang akan membuatkan orang berfikir luas. Contohnya menerusi lagu Malaysia dan Negaraku yang punya mesej tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal yang bakal mengadakan konsert sulung pada 3 November nanti bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur rancak mempersiapkan diri.

Menurutnya, dia perlu mendapatkan semula stamina kerana ia antara persediaan penting untuk beraksi dengan bertenaga.

“Untuk konsert itu nanti, saya kena buat persiapan yang cukup. Saya kena masuk gim semula dan bersenam untuk memantapkan stamina.

“Saya akan sampaikan banyak lagu, jadi kenalah bertenaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 1:35 AM