Fadly (tengah) bersama anggota-anggota Padi Reborn. NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Amirul Haswendy Ashari


KUMPULAN Padi Reborn dianggotai Piyu (Gitar), Fadly (vokal utama), Ari (gitar), Rindra (gitar bass) dan Yoyo (dram) akui berdepan kesukaran pada peringkat awal untuk menarik minat peminat generasi baru sejak kembali ke dalam industri muzik Indonesia sekitar Februari lalu.


Anggota Kumpulan Padi Reborn pada sidang media. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

"Mungkin generasi kini tidak mudah untuk terima dan mereka kenal kami melalui abang atau kakak mereka. Ia menjadi cabaran kami untuk memperkenalkan Padi kepada generasi baru," kata mereka.

Mereka berkata pada sidang media di hotel terkemuka di Kuala Lumpur, hari ini.

Bercakap mengenai konsert Padi Reborn Exclusive Line In KL di KL Live, Jalan Sultan Ismail, esok, mereka sangat teruja dapat bertemu peminat selepas sekian lama.

Selain rindu membuat persembahan di hadapan 2,000 peminat tempatan, mereka juga mahu bertemu semula beberapa rakan pemuzik tempatan yang lama menantikan kehadiran mereka.

Beraksi selama dua jam, mereka akan menyampaikan kurang lebih 17 buah lagu hit antaranya Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai.

"Berehat selama tujuh tahun pastinya semua peminat mahu mendengar kembali lagu-lagu hit terdahulu dalam susunan muzik asal.

"Kami mahu mengembalikan nostalgia dan istimewanya, kami juga akan persembahkan lagu yang menjadi kegilaan peminat Upin Ipin berjudul Sahabat Selamanya," kata mereka lagi.

Turut memeriahkan konsert itu adalah kumpulan Pitahati yang akan membuat persembahan pembukaan.

Konsert dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi terkenal, Aizat Amdan yang akan berduet dengan mereka selain penampilan pemain dram remaja, Amira Syahira.

Pemain dram berusia 15 tahun itu akan menunjukkan bakat bergandingan dengan pemain dram Padi Reborn, Yoyo Prasetyo yang juga antara pemain dram terbaik Nusantara.

Peminat terlepas peluang untuk mendapatkan tiket menyaksikan persembahan masih boleh mendapatkannya pada harga RM169 di pintu masuk acara pada jam 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 6:32 PM