AWIE
Ramlah Zainal

Watak Husin bagaikan sudah sebati dengan diri Datuk Awie sejak kejayaan filem trilogi Kampung Pisang sentuhan pengarah hebat Mamat Khalid iaitu Zombi Kampung Pisang (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin Mon Jin Pakai Toncit (2013).

Terbaru, Awie tampil dalam filem keempat francais Kampung Pisang iaitu Hantu Kak Limah (HKL) yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 9 Ogos nanti.

Menurut Awie, apa yang menarik kali ini, HKL menampilkan gandingan wajah baru dan lama agar ada kelainan.

“Watak Husin dan Kak Limah lakonan Delimawati masih dikekalkan dalam francais terbaru ini.

“Penampilan watak baru seperti Zaitun lakonan Uqasha Senrose, Encik Solehin (Zul Ariffin) serta kemunculan Sabri Yunus juga tidak kurang menariknya sekali gus memberikan kelainan pada filem ini.

“Saya tidak ada masalah berganding buat julung kalinya dengan Uqasha kerana dia sudah banyak berlakon drama dan tahu apa yang perlu dilakukan. Begitu juga pelakon lain semuanya memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran berlangsung awal tahun ini,” katanya.

Awie ditemui pada majlis pelancaran filem HKL yang berlangsung di MATIC, Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama, Penerbit Eksekutif HKL, Gayatri Su-lin Pillai.

Sambung Awie, dia teruja bekerjasama dengan Mamat lagi.

“Bagi saya, abang Mamat pengarah dan penulis skrip yang bagus.

“Saya gelak besar ketika sesi pembacaan skrip kerana lawaknya yang spontan.

“Abang Mamat sentiasa hasilkan perubahan untuk karakter Husin. Kali ini, watak Husin menaiki sampan pula.

“Watak Husin banyak bermain di alam bunian di mana dia bertemu Zaitun. Ia mencabar kerana daripada alam biasa, saya akan masuk ke alam bunian,” katanya.

Ditanya harapannya pula, Awie mahu HKL mencatat kutipan yang hebat sekali gus menjadi filem terbaik tahun ini.

“Francais filem ini sentiasa diingati peminat sampai sekarang. Saya memang meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini kerana ia menjadi batu loncatan untuk filem seterusnya nanti.

“Selain kekuatan sinematografi, filem ini juga menampilkan pembaharuan untuk filem genre komedi seram," katanya.

Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold ini memaparkan misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya.

Kampung Pisang menjadi huru-hara apabila orang kampung diganggu hantu Kak Limah.

Filem ini juga menampilkan watak baru seperti Ropie Cecupak (Nayan), Mus May (bapa bunian), Allahyarham Rab Khalid, Pekin Ibrahim, Jue Aziz, Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:00 AM