BARISAN artis yang terbabit dalam Konsert Rockstars.
Ridzuan Abdul Rahman


Jarang sekali nama besar dalam genre muzik rock digabungkan dalam persembahan berskala besar.

Peminat rock di selatan tanah air tentu beruntung kerana dapat menyaksikan persembahan Ella, Prime Domestic, Cromok dan Sil Khannaz yang bakal beraksi di pentas sama September ini.

Konsert Rockstars anjuran D Grand Stage Event yang menampilkan Ella dan Prime Domestic akan berlangsung pada 7 September manakala Konsert Metal Legend II Live In JB anjuran Dreamstage menggandingkan Cromok dan Sil Khannaz akan berlangsung pada 8 September.

Kedua-dua persembahan ini yang ditampilkan dalam satu tema iaitu Malam Bintang Legenda akan berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Lokasi ini bakal digegarkan dengan alunan irama rock dan metal yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Penganjur D Grand Stage Event Alfred Tan berkata, mereka menjanjikan kelainan dalam konsert ini meliputi pemilihan lagu, susunan muzik, sistem bunyi, set pentas sehinggalah kepada penataan cahaya yang terbaik.

“Sistem bunyi yang ditampilkan ialah 5:2 Stereo Surround dan ia kali pertama digunakan dalam konsert tempatan.

“Ia berbeza dengan sistem surround yang terdapat di pawagam. Peminat dapat merasa sendiri gegaran bunyi yang dapat memberikan kepuasan tahap maksimum.

“Tak terkecuali, tiga skrin LED juga ditambah di bahagian tengah berbanding di kiri dan kanan pentas sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berkompromi dengan aspek disiplin semua artis dalam konsert anjurannya dan memastikan mereka menjalani latihan secukupnya sebagai persediaan untuk konsert ini.

Wakil penganjur Dreamstage, Azhar Mat Noh pula berjanji akan memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam penganjuran Konsert Metal Legends Live In Concert yang menampilkan XPDC dan Cromok di MAEPS, Serdang pada 3 Februari lalu.

“Kami sedar rungutan penonton yang membeli tiket berharga RM250 tapi tidak dapat tempat duduk yang sewajarnya.

“Untuk itu, kami dah buat pengumuman menerusi Facebook untuk menggantikan semula tiket ini dengan yang baru bagi persembahan di Pasir Gudang.

“Mereka tak perlu beli tiket lagi dan cuma perlu bawa keratan untuk ditunjuk kepada kami. Lagipun di Johor, konsert dibuat di lokasi tertutup, bermakna semua penonton akan dapat tempat duduk,” katanya.

Sementara itu, semua artis terbabit berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk kepuasan maksimum peminat yang hadir.

“Saya masih lagi mempromosi album baru Peace.Love.Rindu dan akan banyak menyanyikan lagu daripada album ini.

“Bagaimanapun saya pasti akan menyampaikan lagu-lagu hit dahulu yang masih segar dalam kalangan peminat,” kata Ella.

Tiket Konsert Rockstars berharga RM58 (Lepak Zone), RM78 (Rama-Rama Zone), RM80 (Kasih Zone), RM150 (7.1 Surround Zone) dan RM250 (Gemilang Zone).

Manakala tiket Konsert Metal Legend II Live In JB pula berharga RM48 (Lepak Zone), RM68 (Thrash Zone), RM90 (Hardcore Zone), RM180 (VIP Lepak Zone) dan RM250 (VIP Hardcore Zone).

Ia boleh dibeli secara online di http://www.ilassotickets.com atau di Rock Corner The Garden Midvalley, Victoria Music Sungai Wang dan Victoria Music Amcorp Mall.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 12:39 PM