SUFIE Rashid (kiri) terkilan dengan tindakan Haqiem Rusli. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Sufie Rashid, 27, terkilan dengan tindakan penyanyi, Haqiem Rusli yang menggunakan 'intro' lagu barunya, Selamat Tinggal Sayang tanpa keizinan Sufie selaku penyusun muzik asal.

Menurut penyanyi dari Singapura itu, muzik itu disusun olehnya sekitar tahun lalu, namun terkejut apabila mendapati ‘intro’ Selamat Tinggal Sayang sama dengan susunan yang dibuatnya.

"Apabila ramai yang berkongsi lagu itu di media sosial, saya pun dengarkannya. Memang tak sangka susunan muzik yang saya buat dalam bentuk demo untuknya, dijadikan 'intro' untuk lagu baru itu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Sufie, dia bukanlah mahukan penghargaan berlebih-lebihan atau bayaran, sebaliknya kalau diminta izin mengikut prosedur yang sepatutnya adalah lebih baik.

"Sebelum dia menempa nama seperti hari ini, selalunya dia akan buat demo dengan menggunakan gitar. Sebagai orang yang boleh dikatakan rapat dengannya, saya nak sokong apa yang dia lakukan.


LUAHAN Sufie mengenai susunan muziknya ‘diciplak’ Haqiem Rusli. FOTO Instagram Sufie Rashid

"Satu hari, dia beritahu saya yang dia nak buat demo yang lebih 'proper', jadi saya susun semula lagu itu dan mainkan dengan piano.

"Saya tak tahu sama ada ini salah Haqiem sendiri atau pihak pengurusannya. Kalau dia minta izin untuk gunakan demo yang saya buat itu atau kredit nama sebagai penyusun, tak jadi masalah. Ini tidak," katanya.

Sufie menegaskan bahawa tindakan itu sangat murahan dan dia sendiri pun tahu hakikat bahawa lagu itu bukanlah ciptaan Haqiem sepenuhnya.

"Murah sangatlah kalau sekadar curi idea orang lain dan kredit nama sendiri. Lagi pula, lagu itu pun bukan ciptaan dia sepenuhnya, tapi bersama seorang rakannya," katanya lagi.

Sufie turut berkongsi rasa terkilannya itu di Facebook dan Instagram miliknya pada tengah malam semalam dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 8:56 AM