JENNIFER Garner yang meraikan hari kelahiran ayam peliharaannya.
Michelle Gun

Menyambut ulang tahun kelahiran haiwan peliharaan mungkin kedengaran pelik bagi segelintir orang.

Namun, bukan bagi pencinta haiwan seperti pelakon Jennifer Garner yang meraikan hari kelahiran ayam peliharaannya.

Lebih manis, bintang Hollywood berusia 46 tahun itu turut menyediakan juadah istimewa untuk haiwan berkenaan.

Dia turut berkongsi hari istimewa itu dengan pengikutnya di Instagram dengan memuat naik gambarnya bersama lima ayam peliharaan.

“Sedar tak sedar sudah setahun ‘mereka’ menetas. Cepat betul ‘mereka’ membesar,” tulisnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon siri Alias ini menunjukkan bakat memasak dengan berkongsi siri video menyediakan juadah di Facebook.

Siri video terbabit diberi judul Pretend Cooking Show dan antara juadah disediakan Garner adalah kek coklat, puding serta mufin.

Mengenai kisah peribadinya pula, Garner menjalin hubungan baik dengan pelakon Ben Affleck walaupun sudah dua tahun berpisah.

Pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata iaitu Violet, 12, Seraphina, 9 dan Samuel, 6.

Baru-baru ini, pelakon itu mengucapkan selamat Hari Bapa kepada Affleck, 45, di Instagram.

“Anak-anak kami bertuah mempunyai bapa yang penyayang,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 12:38 PM