Amy Mastura. FOTO Shiraz Yasmine Ali
Amy Mastura. FOTO Shiraz Yasmine Ali
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI dan pelakon Amy Mastura, 47, mengakui tidak pernah menyekat minat dua anaknya Adriana, 17, dan Adalia, 14, untuk terbabit dalam bidang seni.

“Kedua-dua mereka sangat meminati bidang seni. Adriana minat menyanyi manakala Adalia lebih terarah kepada tarian dan muzik.

“Buat waktu ini saya memang tiada apa-apa perancangan buat mereka. Tengoklah minat mereka terdorong ke arah mana dan saya hanya memberikan sokongan,” katanya kepada Harian Metro.

Amy yang popular menerusi lagu Sha Na Na berkata, sebagai ibu zaman moden, dia mengikut peredaran masa dan sentiasa bersikap sporting dengan anak-anaknya.

“Kadang-kadang rezeki datang tanpa diduga dan jika ada rezeki apa salahnya diteruskan. Jika tiada, anggaplah hanya sebagai hobi sementara menanti peluang yang lebih baik.

“Anak-anak saya bukanlah terlalu terdedah kepada peminat dan kalau dikenali pun hanya dalam kalangan kawan-kawan.

“Setakat ini mereka hanya banyak buat persembahan di sekolah dan itu sudah memadai sebagai pendedahan,” katanya.

Menurut Amy, dia tidak pernah menggunakan namanya bagi mempengaruhi mana-mana pihak supaya mengambil anaknya menyanyi ataupun berlakon.

“Buat masa ini anak saya belum berpeluang menampilkan bakat mereka di luar. Saya sendiri pun tak ‘push’ sangat mereka tapi tak juga halang jika ada peluang.

“Secara jujur saya tak pernah melobi anak kepada mana-mana pihak kerana berasa malu nak berbuat demikian.

“Mungkin orang lain boleh buat begitu tapi lain orang lain caranya. Saya cuma tampilkan mereka dalam projek yang membabitkan saya. Contohnya Adalia pernah berlakon dalam drama yang turut dibintangi oleh saya,” katanya.

Mengambil contoh, Amy tidak pernah dibantu oleh mana-mana dan meniti populariti dalam seni menerusi usahanya sendiri.

“Saya percaya pada rezeki masing-masing. Apabila sampai masanya, peluang pasti akan terbuka luas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 7:09 PM