SARAH.
Syafil Syazwan Jefri

Kemunculan penyanyi Siti Sarah Raisuddin di pentas Siti Sarah Special Showcase yang berlangsung Sabtu lalu sedikit sebanyaSk mengubat kerinduan peminat yang menantikan acara itu sejak sekian lama.

Membuka pentas dengan lagu Jangan Kau Mimpi, Sarah yang menggayakan busana rona merah menghangatkan acara, sekali gus membuatkan penonton yang membanjiri Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) bersorak keriangan.

Sarah seterusnya menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang pernah dipersembahkan dalam program Gegar Vaganza, tahun lalu.

Empat lagu medley itu adalah Teratai Layu di Tasik Madu, Joget Sayang Disayang, Bunga Angkasa dan Senggol Senggolan.

Tentunya, kehadirannya tidak akan lengkap sekiranya penyanyi bersuara lunak itu tidak menyampaikan lagu-lagu popularnya.


SARAH dan Dafi.

Jadi, pada segmen ketiga dia mempersembahkan medley lagu popular yang mengangkat namanya iaitu Saat Hilang Cintamu, Bersamamu, Ke Hujung Dunia dan Ku Teruskan.

Sarah kemudian meneruskan acara dengan mengalungkan lagu Pohon Asmara yang dipopularkan Jaclyn Victor.

Sekali lagi, dia mengejutkan penonton dengan dendangan lagu berjudul Tinggalkan Dirimu yang juga dipilih khas ramai peminat setianya.

Tidak sendiri, Sarah juga turut ditemani suaminya, Shuib ketika menyampaikan lagu duet Kejoraku Bersatu.

Selain suami, pentas Siti Sarah Special Showcase juga dihangatkan dengan kemunculan rakan artis, Mark Adam yang menyampaikan lagu duet Sandarkan Pada Kenangan serta Dafi menerusi lagu Menari Denganku.


SARAH berduet dengan suami.

Lebih menarik, penonton menerima kejutan apabila bapa Sarah yang juga pelakon Raisuddin Hamzah muncul di pentas dan berduet menerusi lagu Jangan Ada Dusta di Antara Kita.

Selain itu, Sarah turut menyampaikan rangkaian lagu Inggeris kegemarannya iaitu I Will Always Love You, My All dan Unbreak My Heart.

Menariknya, My All dinyanyikan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Melayu, sama seperti yang pernah disampaikannya bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Ning Baizura dan Liza Hanim.

Membawa peminat kembali kepada detik awal kemunculannya, Sarah menyampaikan lagu Kesetiaan yang penuh emosi dan menutup acara dengan lagu barunya, Semakin.


PENAMPILAN istimewa bapa tersayang.

Muzik bertaraf konsert

Sebagai individu yang sangat teliti dalam melakukan sesuatu, Sarah mengakui tidak puas dengan persembahannya.

“Saya sangat teliti dalam banyak hal dan kalau anda tanya, sukar untuk saya berpuas hati dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Namun, Sarah bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan ‘standard’ muzik yang dipentaskan pada malam itu bertaraf konsert.

“Tahap muzik yang dibawa pada malam ini adalah seperti konsert. Saya berpuas hati dengan hasil yang diberikan oleh pengarah muzik, Lokyu atau Faizal Uzir.

“Kalau saya diberi peluang untuk rakamkan semula lagu dengan muzik sebegini, saya teringin rakam semula lagu Kesetiaan,” katanya.

Apa yang pasti, Sarah sentiasa mengharapkan sokongan peminat terhadapnya tidak akan bernoktah selagi dia meneruskan langkah sebagai anak seni.


BERDENDANG dengan Mark Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 12:19 PM