ROSYAM (kiri) dan Izzhar sebagai pengacara Da’i 6.
Norhayati Nordin

Malam ini, bermulalah pertarungan 10 peserta selama 11 minggu untuk merebut takhta juara program Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam (Da’i 6).

Seramai lapan peserta lelaki dan dua wanita dipilih untuk berentap pada musim ini dengan syarat yang diketatkan.

Penerbit Da’i 6, Shukri Ibrahim berkata, selepas lima musim berlalu, untuk yang terbaru kali ini perlukan kelainan.

“Apatah lagi, jumlah peserta yang hadir ketika sesi uji bakat pun agak ramai iaitu lebih 600 orang. Jika diukur pada aspek pendidikan, boleh dikira ramai yang layak. Namun, kriteria syarat diketatkan kali ini,” katanya.

Menurut Syukri, kebanyakan calon peserta gagal layak kerana tidak mampu membaca ayat al-Quran secara taranum dengan baik.

“Kriteria syarat Da’i 6 ialah peserta diwajibkan membaca ayat al-Quran dengan taranum dan ia penekanan utama dalam penilaian juri. Namun, rata-rata peserta gagal taranum dengan baik dan 10 peserta dipilih ini pun memang mereka boleh bertaranum,” katanya.

Syukri berkata, tujuan syarat pemilihan peserta diketatkan untuk memastikan objektif asal program Da’i tidak tersasar.

“Da’i adalah platform yang disediakan untuk menggilap bakat golongan muda yang berminat untuk berdakwah.

“Namun, selepas lima musim didapati perlu ada sedikit pembaharuan pada kriteria syarat pemilihan peserta harus dibuat.

“Ini kerana didapati kebanyakan peserta sudah bersedia untuk penyampaian tazkirah yang baik, namun untuk membaca ayat al-Quran dengan taranum agak kurang,” katanya.

Menurut Shukri, dalam soal ini selera penonton juga sukar dijangka kerana ada yang gemar dengan tazkirah dan tidak kurang yang sukakan pembacaan ayat al-Quran bertaranum.

Seramai 10 peserta yang bertarung malam ini ialah Abdul Syahmi Asri Kamarudin, 20, atau Da”i Syahmi dari Pahang, Muhammad Syukri Wafi Mukhti, 24, (Da’i Wafi, Kelantan), Noor Syazwani Zuriati Rohazey, 21, (Da’i Syazwani, Kedah), Haziq Safwan Norzaman, 22, (Da’i Haziq, Perak) dan Muhammad Hafizhullah Ahmad, 25, (Da’i Hafiz, Kedah).

Diikuti lima lagi peserta iaitu Imran Mohd Zaki, 21, (Da’i Imran, Selangor), Muhammad Danial Jaffar, 27, (Da’i Danial, Pahang), Mohd Amirul Mukminin Yusoff, 23, (Da’i Amirul, Kedah), Muhammad Adam Muhibullah Abdullah, 26, (Da’i Adam, Sabah) dan Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris Shah, 18, (Da’i Raisyah, Perak).

Menariknya, Da’i 6 ini semestinya latar belakang pendidikan peserta yang pelbagai. Ada lulusan perakaunan dan sains tulen tetapi memiliki ilmu agama yang baik.

Bagi memantapkan lagi Da’i 6, ia dibarisi pengetua, Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh sebagai Mursyid serta dua tenaga pengajar iaitu Ustaz Haryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin sebagai Murabbi.

Selain itu, penilaian peserta akan dibuat dua juri tetap dipilih iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Pemarkahan peserta merangkumi 80 peratus juri meliputi aspek pengisian Al Quran & Hadis (30 peratus), gaya & susunan isi (30 peratus) dan kreativiti persembahan (20 peratus) manakala 20 peratus markah lagi daripada murabbi (tenaga pengajar).

Pengacara Da’i 6 pula ialah Datuk Rosyam Nor bersama finalis Da’i musim kedua, Da’i Izzhar yang pernah mengacara program Malaysia Hari Ini (MHI) sebelum ini.

Da’i 6 yang disiarkan secara langsung di TV3, setiap Jumaat jam 9 malam ditaja Almas Beauty & Health menawarkan hadiah lumayan RM60,000 untuk juara, RM15,000 (tempat kedua) dan RM10,000 (ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:32 PM