GHAZ
Norhayati Nordin

Walaupun sudah membuktikan bakatnya sebagai pengarah filem berjaya, Ghaz Abu Bakar selesa positif.

Ghaz adalah pengarah filem Polis Evo yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung di Malaysia sebanyak RM17.3 juta pada 2015.

Namun begitu, untuk sekuel filem Polis Evo 2, tanggung jawab mengarah tidak lagi digalasnya dan Ghaz akur.

Menurut Ghaz, dia sedikit pun tidak berkecil hati dengan Astro Shaw selaku produksi penerbitan filem aksi itu.

“Bagi saya, Astro Shaw selaku penerbit memiliki hak penuh untuk memilih pengarah yang dikehedaki mereka.

“Apabila tidak dipilih untuk mengarahkan filem Polis Evo 2, saya akur dan terima dengan hati terbuka.

“Ditambah lagi, saya mendapat peluang mengarahkan drama aksi pula. Jadi, rezeki saya tetap ada,” katanya.

Ghaz berkata, apa yang paling utama baginya adalah sentiasa bersyukur dengan apa saja rezeki diperoleh.

“Syukur alhamdulillah, walaupun tidak menjadi pengarah filem Polis Evo 2, rezeki saya tidak terjejas. Malah, saya masih lagi terus berkarya dalam bidang pengarahan, meskipun mengarahkan drama,” katanya.

Pada Ramadan lalu, Ghaz sibuk dengan penggambaran drama aksi sebanyak 12 episod, Banteras.

Menariknya, drama Banteras adalah karya hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bertindak sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah, Ghaz berkata, dia sangat teliti dalam menyiapkan hasil drama itu.

“Apatah lagi, drama Banteras yang diarahkan ini berdasarkan kisah besar daripada fail kes pihak SPRM.

“Plot jalan cerita untuk penulisan skripnya perlu diolah sebaik mungkin dan dirujuk juga kepada SPRM.

“Justeru, ia satu cabaram besar buat saya kerana harus peka dan teliti dalam banyak perkara,” katanya

Drama Banteras membariskan pelakon seperti Khir Rahman, Kamal Adli, Zahiril Adzim, Sangeeta dan ramai lagi.

Berbicara mengenai kerjasama pelakon, Ghaz berkata, dia puas hati kerana mendapat kerjasama yang baik.

“Bahkan, untuk melakonkan babak aksi juga rata-rata ia dilakukan sendiri oleh pelakon utama.

“Saya puji barisan pelakon drama Banteras ini yang berjaya memberikan komitmen terbaik mereka. Selain itu, di antara saya dengan pelakon juga kami banyak berbincang untuk memantapkan setiap babak,” katanya.

Menurut Ghaz, apa yang mendebarkan hatinya kini ialah penerimaan penonton terhadap drama Banteras apabila ditayangkan di Astro nanti.

Namun, dia tetap melihat pendekatan positif lebih baik kerana sudah berusaha melakukan apa yang termampu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:38 PM