NANA menafikan dakwaan dia menarik balik kenyataannya tidak mahu berlakon lagi dengan Alif (gambar kecil). FOTO arkib NSTP
NANA menafikan dakwaan dia menarik balik kenyataannya tidak mahu berlakon lagi dengan Alif (gambar kecil). FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 34, menafikan dengan tegas dakwaan dia kini menarik balik kenyataannya tidak mahu berlakon lagi dengan penyanyi dan pengacara, Alif Satar, 28.

Menurut Nana, dia masih berpegang dengan kata-katanya dan projek kerjasama terakhir dia bersama Alif untuk 2018 ialah konsert Just Us Alif Satar & Siti Nordiana di Singapura pada 31 Ogos nanti

"Siapa kata saya dan Alif akan berlakon sama lagi. Buat masa ini, memang tidak ada tawaran berlakon untuk kami diganding berdua pun.

"InsyaAllah, saya akan masuk set penggambaran bersama pelakon Fikry Ibrahim untuk drama Cekelat Semanis Honey. Itu pun dijangkakan pada September nanti," katanya.

Menurut Nana, dia tahu ramai peminatnya dan Alif mahu mereka terus diganding bersama. Ujarnya, jika ada rezeki takkan ke mana.

"Saya dan Alif menghormati perasaan peminat kami. Namun, untuk 2018 ini rasanya sudah cukuplah kerjasama kami serta tunaikan impian peminat.

"Macam yang semua tahu, kami sudah berlakon drama sama, Klik! Pengantin Musim Salju, ada lagu duet, Sebenarnya dan tak lama lagi konsert Just Us pula.

"Bagi saya, wajar untuk kami 'berehat seketika' kerana masing-masing pun sibuk dengan komitmen aktiviti seni sendiri," katanya.

Ujar Nana, harapannya kini semoga single duet Sebenarnya akan mesra radio dan mendapat sambutan baik pendengar. Malah, sejak dimuat naik di YouTube sebulan lalu sudah mencecah 1.1 juta tontonan.

Nana dan Alif diganding kali pertama pada 2016 lalu menerusi drama Dia Semanis Honey, diikuti Dia Semanis HoneyMoon dan telefilem Dia Semanis Honey Raya.

Tidak ketinggalan, mereka yang mendapat jolokan pasangan 'Shahrukh Khan dan Kajol Malaysia' turut beraksi di pentas Istana Budaya (IB) menerusi teater muzikal Dia Semanis Honey, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 2:23 PM