OMERA
Amirul Haswendy Ashari

Sebut saja nama band Omera, pasti ramai berkerut dahi. Apatah lagi, band ini masih hijau di dalam industri muzik tempatan walaupun anggotanya terdiri daripada mereka yang memiliki pengalaman.

Bertemu di Balai Berita minggu lalu, Omera dianggotai Amin (penyanyi), Azim (dram), Amie (bass) dan Wan (gitar) berkongsi banyak perkara menarik.

Antaranya bagaimana band ini ditubuhkan dan setiap ahli mula masuk tahun lalu.

Wan, 36, berkata, Omera bermaksud orang yang memiliki personaliti penuh inspirasi dan positif.

“Omera ditubuhkan khas atas arahan penulis lirik single pertama berjudul Wayangan iaitu Dr Soul dari Goodsound Music Publishing Sdn Bhd.

“Jadi, kami cipta satu produk baru dengan susunan muzik yang agak berlainan dengan muzik sedia ada di Malaysia dan bermulalah pencarian ahli band,” katanya.

Katanya, Omera adalah hasil cetusan idea antara dia, penulis lirik dan jurutera muzik pada Ogos tahun lalu.

Anggota pertama ditemui Wan ialah Amie, 28, yang mempunyai bakat luar biasa bermain bass.

Kemudian dia bertemu pula dengan Azim, 23, yang mempunyai ilmu dan pengalaman tersendiri sebagai pemain dram di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Ketika bertemu mereka, lagu sudah ada dan langkah terakhir adalah mencari penyanyi yang mempunyai sifat tersendiri, berbeza dengan vokal sedia ada di dalam industri muzik kita.

“Pencarian berakhir dengan Amin yang sebelum ini sudah pun mempunyai pengalaman bersama band OTO,” katanya.

Katanya, Amin memiliki ton suara menarik dan sangat sesuai dengan genre muzik baru yang Omera cuba kete­ngahkan pada masa ini.

Dalam pada itu, Amin ditanya sama ada keputusan menyertai Omera akan menyebabkan timbul isu bersama band lalu.

“OTO berada dalam keadaan ‘hiatus’ pada masa ini, ditambah pula ada beberapa isu berserta ada ahli yang tarik diri, jadi tiada masalah.

“Saya pula agak agresif sebab masih melakukan kerja studio walaupun band dulu sedang ‘hiatus’ dan tiba-tiba saja dapat panggilan daripada Wan, menawarkan saya me­nyertai Omera,” kata jejaka berasal dari Jeli, Kelantan ini.

Wan dan Amin akui berdepan dengan pelbagai rintangan dalam usaha mencari kelainan pada single pertama Omera ini.

Tapi bagi mereka, single pertama ini perlu diletak sebuah penanda aras agar peminat muzik kenal identiti mereka.

Kata mereka, seandainya mereka menghasilkan projek menyanyi lagu saduran sekali pun, genre dibawa mereka akan dikekalkan.

“Pemuzik semakin banyak idea baru, jadi, kita tidak boleh biarkan saja dan kami cuba kekalkan agar ia terus terkini tapi masa sama menyelitkan elemen muzik sebelum ini supaya masih relevan.

“Kami mahu konsisten dan tidak mahu menjadi seperti penyanyi lain yang tidak konsisten dengan genre muzik mereka,” katanya.

Bercakap mengenai single Wayangan yang sudah dilancarkan Mac lalu, Omera mendapat banyak komen positif, terutama di segi susunan muzik yang dianggap segar oleh pendengar.

Tanpa berselindung, ia susulan mereka menggunakan pemuzik hebat tanah air seperti Kelly (bass) dan Ujang (dram) untuk mengiringi muzik mereka pada sesi rakaman.

Walaupun menggunakan pemuzik hebat, Omera akui bukan masalah sekiranya anggota asal Omera diminta memainkan muzik secara ‘live’ pada masa depan.

“Kami tiada masalah sebab ‘live’ dan rakaman, kami masih boleh bawa cara yang sama sebab ahli Omera bukan orang baru,” kata.

Selain menjalani promosi di media masa secara tradisi, mereka turut menjalani teknik pemasaran baru seperti menyertai pertandingan atas talian seperti The Musician Wanted yang masih berjalan.

Peminat muzik tempatan yang ingin tahu lebih lanjut mengenai band ini, boleh layari laman sosial rasmi mereka dengan carian omera_official (Instagram) atau Omera Band (Facebook).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:07 PM