AMAR dan Amyra berdiri dengan karier sendiri. Foto NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Amar Baharin menafikan menumpang populariti isterinya, Amyra Rosli untuk mendapat tempat dalam industri hiburan dan tawaran berlakon.

Amar, 33, berkata, soal menumpang populariti sesiapa tidak pernah timbul kerana mereka sebelum ini berdiri dengan karier masing-masing sebelum berjumpa dan berkahwin.

“Selepas berkahwin, kami meneruskan karier masing-masing. Cuma apabila ada sokongan daripada isteri dan ada anak (Aqeef Anaqi), populariti semakin kuat dan kukuh.

“Kalau seorang, populariti saya nampak terkontang-kanting begitu saja. Sekarang saya lebih mengutamakan cerita berkenaan keluarga kerana peminat lebih sukakan cara ini.

“Mereka nak tahu pasal keluarga dan tak ambil peduli apa yang saya lakukan secara sendirian,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amar, dia bersyukur kerana bakat dan komitmennya dalam lakonan semakin dihargai pelbagai pihak termasuk penerbit Global Station yang menawarkannya membintangi drama 100 episod berjudul Jodoh Jodoh Anissa.

“Kalis Kasih adalah drama terakhir saya yang ditayangkan di TV3 dan ketika bulan Ramadan, saya dan Amyra sibuk dengan tugas sebagai duta kempen Terima Kasih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) serta jenama pakaian Primavalet yang menjelajah seluruh negara.

“Kini saya ditawarkan pula berlakon dalam Jodoh Jodoh Anissa. Saya akan masuk ke set penggambaran pada hujung bulan ini.

“Saya diberikan kepercayaan membawa watak utama dan bergandingan dengan Izara Aishah. Cerita ini diadaptasi daripada novel Indonesia,” katanya.

Amar mengakui teruja berlakon drama ini kerana setakat ini hanya pernah membintangi drama 46 episod.

“Saya akan terbabit di set penggambaran hingga Mac tahun depan. Ini rezeki anak saya dan sepanjang tahun ini saya akan fokus pada drama ini sahaja serta tugas sebagai duta-duta produk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 7:42 PM