AFIF Ali.
AFIF Ali.
Ardini Sophia Sina

Baru saja menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka, pendatang baru Afif Ali kini cuba membina tapak kukuh di pentas seni suara menerusi lagu berjudul Setiaku.

Lagu balada ciptaan Yoko, pemuzik dari Indonesia itu diharapkan mampu membuka peluang buat jejaka berusia 19 tahun ini untuk terbang tinggi sebagai penyanyi.

Sedang menunggu panggilan kemasukan ke insitusi pengajian tinggi, tempoh terluang ini digunakan untuk mempromosikan lagu Setiaku.

Selepas itu, Afif akan memberikan tumpuan kepada pelajaran.

“Saya jadikan Sufian Suhaimi sebagai contoh terbaik. Dia mampu selesaikan pengajiannya walaupun aktif menyanyi. Saya juga akan buat seperti itu. Saya akan bahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian.

“Bukan mudah orang muda masa kini mendapat peluang untuk bersinar dalam kerjaya seni. Apabila saya mendapat peluang ini, saya gunakan sebaik mungkin untuk memeriahkan lagi industri muzik,” katanya.

Mahu memilih bidang kejuruteraan di universiti nanti, Afif tidak menafikan ada orang sekeliling yang ‘bercakap’ mengenai pilihannya untuk menjadi penyanyi sedangkan dia tergolong dalam kalangan ‘budak pandai’.

Bagaimanapun, Afif bersyukur kerana ibu bapanya merestui pilihannya untuk menceburi bidang seni.

Kata Afif, dia abaikan saja cakap-cakap yang menyapa telinganya.

“Memang ada yang cakap, kenapa saya mahu jadi penyanyi sedangkan saya belajar di matrikulasi dan memilih bidang kejuruteraan di universiti nanti. Tetapi, saya anggap itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

“Bagi saya, itu hanya sekadar kata-kata dan saya abaikan saja. Paling penting, ibu bapa tidak menghalang untuk meneruskan kerjaya nyanyian. Mereka melihat muzik sebagai aktiviti sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:39 PM