Lelaki muda meminta mereka diberi peluang mengenali Rita. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Rita Rudaini dihujani ‘direct message’ (DM) daripada lelaki muda di Instagram selepas membuat kenyataan disiarkan akhbar ini, minggu lalu.

Rita, 42, berkata kebanyakan mereka meminta agar diberi peluang mengenali dan mendekati dirinya dengan lebih dekat.

“Saya terkejut apabila ramai lelaki muda yang mesej. Masing-masing meluahkan isi hati mahu berkawan dengan saya. Namun, saya tidak layan pun.

“Lagi pula, buat masa sekarang saya belum terbuka hati untuk berkahwin. Saya selesa dan gembira dengan kehidupan kini.

“Cuma, macam dikatakan sebelum ini, saya tidak masalah sekiranya ditakdirkan jodoh dengan lelaki muda lagi. Asalkan dia seorang yang matang dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak,” katanya kepada Harian Metro.

Menerusi kenyataannya sebelum ini, Rita berkata tidak salah jika seorang wanita berkahwin dengan lelaki muda asal sahaja matang dan bertanggungjawab.

Rita juga menjelaskan, usia pasangan bukan pengukur kepada kebahagiaan sesebuah perkahwinan.

Rita ditemui pada majlis pelancaran drama siri web Projek Dapat Baby dan Najwa Medispa, hari ini berkata dia masih belum terbuka hati untuk berkahwin lagi.

Malah, Rita menetapkan syarat lelaki yang ingin berkahwin dengannya mestilah menyayangi dua anak lelakinya seperti mana dia memberikan kasih sayang kepada mereka.

“Kalau dia mampu memberikan kasih sayang kepada anak-anak, mungkin saya terbuka hati untuk berkahwin lagi. Saya sudah melalui banyak proses dalam perkahwinan dan kehidupan, jadi tidak apa lagi diinginkan.

“Namun, jika lelaki itu mampu curahkan kasih sayang macam mana saya berikan kepada anak-anak, saya boleh pujuk hati untuk terima. Ini paling penting untuk saya,” katanya, melakonkan watak Najwa dalam siri web itu.

Drama sebanyak lapan episod itu turut menampilkan pelakon lain seperti Tony Eusoff, Fikry Ibrahim, Azhar Sulaiman, Aida Khalida, Louisa Chong, Mahmud Ali Bashah dan ramai lagi.

Ia akan ditayangkan bermula 30 Julai ini di saluran Najwa Mediapa YouTube dan Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 9:16 PM