Skip this ad x
ANTARA babak dalam Dendam Laksamana.
Rudy Imran Shamsudin

Sewaktu dipentaskan pada November lalu, penggiat seni teater terutama pengkaji bangsawan mengecam usaha yang dilakukan pengarah teater dan pereka tari terkenal, Pat Ibrahim sewaktu mempersembahkan karyanya, Dendam Laksamana.

Kata mereka, Pat Ibrahim cuba merosakkan keaslian kesenian pentas klasik itu apabila cuba menongkah arus dan menjadikannya persembahan separa kontemporari.

Bagaimanapun, kritikan diberikan itu langsung tidak menghalang penonton untuk menyaksikan persembahan yang membariskan penggiat seni berpengalaman seperti Hairi Safwan yang memegang watak sebagai Laksamana Megat Seri Rama, Nadia Aqilah (Wan Anum), Anwar Rusdini (Sultan Mahmud Syah II), Ahmad Iswazir (Seri Bija Wangsa), Naque Ariffin (Tun Aman), Azizah Mahzan (Pawang Sadewata), Yusof Hashim (Penglipur Lara), Naszally (Kuntum) dan Tria Aziz (Mayang).

Ditemui baru-baru ini, Pat Ibarahim berkata, dia menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan menjelaskan apa yang dilakukannya sebelum ini semata-mata mahu memastikan kesenian klasik berkenaan terus hidup.

“Saya banyak membuat kajian mengenai bangsawan sebelum ini termasuk apabila mengambil keputusan untuk mementaskan Dendam Laksamana.

“Untuk pengetahuan semua, bangsawan adalah satu corak kesenian pementasan yang sangat lengkap kerana ia menggabungkan semua elemen seni yang ada iaitu lakonan, tarian, nyanyian sehinggalah kostum dan rekaan pentas,” katanya.

Jelas Pat, apa yang dilakukan menerusi Dendam Laksamana adalah cuba mengangkat tinggi pentas teater dengan memberikan kelebihan dari sudut teknikal.

“Saya faham pengkaji bangsawan berasakan perubahan yang dilakukan itu merosakkan keasliannya. Namun, sebagai penggiat saya tidak mahu bangsawan mati ditelan arus. Begitu juga dengan paparan watak dan pengucapan dialog.

“Saya tidak mengubah semua sebaliknya dalam perubahan dibuat, elemen dan ciri utama bangsawan Dendam Laksamana saya cuba kekalkan. Perubahan dalam penceritaan juga dibuat bagi memastikan ia menarik dan penuh drama.

“Perubahan perlu dilakukan agar bangsawan dilihat cukup gah apabila dipentaskan dan mampu menarik perhatian umum untuk datang menyaksikannya,” katanya.

Sewaktu dipentaskan buat pertama kali November lalu, Dendam Laksamana mendapat sambutan hangat dan disebabkan itu juga Pat Ibrahim menerusi produksinya Pat Ibrahim Project Entertainment membawa drama bangsawan itu menjelajah seluruh Malaysia di bawah program Siri Semarak Bangsawan dengan skala lebih besar: Jeyarawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya 2018.


ANTARA babak dalam Dendam Laksamana.

Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) turut mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Menjelaskan mengenai perancangan terbaru, Jeyarawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya (JPBWB2018) diadakan untuk memperkasa seni persembahan, kebudayaan dan warisan dalam konteks bangsawan melalui empat komponen di dalamnya terdiri dari forum, pameran, jualan, bengkel serta persembahan pentas.

Misi JPBWB2018 ialah untuk memelihara warisan dan budaya. Projek debut PIPE, bangsawan Dendam Laksamana membawa kembali kemuliaan dan era bangsawan yang megah. Produksi ini turut membawa penonton ke pemandangan Johor lama, kira-kira 318 tahun lalu.

Jerayawara ini bakal menjelajah Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan akan berakhir di Kuala Lumpur.

Bangsawan Dendam Laksamana cerita dari mata penulis berdasarkan halaman Tuhfat Al Nafis yang mengisahkan Sultan Mahmud Syah II dibunuh Laksamana Bentan bagi menuntut bela kematian isterinya Wan Anum.

Sultan murka apabila Wan Anum yang hamil makan nangka miliknya maka tanpa belas ehsan membunuh wanita itu ketika ketiadaan Laksamana Bentan. Kisah ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:00 PM