HAMPIR 20,000 pengunjung hadir menyaksikan konsert.
HAMPIR 20,000 pengunjung hadir menyaksikan konsert.
Sudirman Mohd Tahir

Karnival Jom Heboh 2018 kini kembali! Memasuki edisi ke-15, acara padang terbesar TV3 itu membawakan konsep meriah dan bertenaga sepanjang dua hari berlangsung bermula 28 hingga 29 Julai.

Selain aktiviti di gerai utama dan gerai jualan lain, Konsert Jom Heboh (KJH) yang berlangsung kelmarin di Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil antara dinanti pengunjung dari awal pagi.

Menampilkan barisan penyanyi hebat tanah air, konsert yang bermula jam 9 malam itu dihadiri 20,000 pengunjung yang mula mengambil tempat seawal jam 5 petang.

Antara penyanyi terbabit ialah Dayang Nurfaizah, kumpulan Hujan, Altimet, Black Hanifah, Khareez dan Maisarah Ukulele.

Menurut Pengurus, Pengurusan Projek Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Muhammad Taufiq Badri pemilihan artis yang membuat persembahan berdasarkan peringkat umur pengunjung yang hadir.

MAISARAH Ukulele membuat persembahan pembukaan.
MAISARAH Ukulele membuat persembahan pembukaan.

“Pada acara konsert kita tidak mahu fokus kepada penyanyi baru saja, tetapi menggabungkan antara penyanyi baru dan lama. Apatah lagi ia sesuai dengan semua golongan dan peringkat umur yang datang ke karnival ini.

“Sejak awal lagi kami merancang perkara ini dan menyasarkan khalayak yang datang adalah pelbagai peringkat usia. Jadi, barisan yang dipilih tepat dan menepati cita rasa penonton. Buktinya dapat dilihat sokongan pengunjung apabila turut menyanyi bersama,” katanya.

Taufiq berkata, kebanyakan artis dipilih adalah yang sudah lama tidak menjayakan Konsert Jom Heboh.

“Kami bawakan Altimet sebab ini tahun terakhir pembabitannya dalam bidang nyanyian sebelum bersara. Kumpulan Hujan, Dayang dan Black pula memang sudah lama tidak muncul dalam konsert ini.

“Apa yang pasti kehadiran mereka cukup untuk menghangatkan pentas konsert. Peminat yang datang pula cukup ‘sporting’ dan meriah dengan sorakan,” katanya.

ALTIMET ‘sporting’ melayan peminat.
ALTIMET ‘sporting’ melayan peminat.

Menurut Taufiq, sepanjang dua hari penganjuran, Karnival Jom Heboh berjaya mencatat kehadiran hampir 500,000 pengunjung.

Selepas Bukit Jalil, karnival itu bakal menemui peminat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 29 dan 30 September diikuti Plaza Angsana Johor Bahru (26 dan 27 Oktober).

Konsert dekat di hati

Bagi penyanyi Black Hanifah, sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang seni, Konsert Jom Heboh cukup dekat di hati.

“Sebelum menjadi penyanyi, saya antara pengunjung wajib konsert. Tidak menjangka pula, apabila menjadi penyanyi pentas konsert ini adalah jalan terbaik dalam mempromosikan diri dan lagu.

“Menariknya, menerusi konsert ini peminat disajikan dengan hiburan percuma selain dapat berjumpa dengan artis yang membuat persembahan.

“Biarpun sekarang zaman media sosial yang mana wajah artis boleh dilihat di hujung jari, tetapi karnival ini masih mengekalkan cara lama yang membolehkan peminat melihat persembahan artis secara langsung,” katanya.

Menurut Black, sepanjang pembabitan dalam konsert itu juga, antara kenangan yang tidak boleh dilupa adalah ketika menjayakan persembahan di Sarawak.

“Ketika di Sarawak, saya diberi peluang berduet dengan Azlan & The Typewriter menerusi lagu Gemuruh. Pada tahun itu, ramai berkata kami banyak persamaan dan mahu lihat gabungan ini lagi.

“Sepanjang persembahan dan selepas tamat, maklum balas diberikan sangat bagus. Mereka suka dengan gandingan kami,” katanya yang menyanyikan lagu Teman Pengganti, Anugerah Terindah dan Di Sebalik Senyuman.

BLACK mengajak peminat menyanyi bersama.
BLACK mengajak peminat menyanyi bersama.

Kemunculan Dayang bagi mempromosikan filem Pulang menerusi lagu Layarlah Kembali antara yang dinanti.

Malah, Dayang mengakui penonton yang hadir pada setiap Konsert Jom Heboh tidak pernah mengecewakan sepanjang pembabitannya dalam acara itu.

“Sejujurnya, saya suka terbabit dalam acara sebegini kerana dapat menyanyi depan khalayak yang ramai. Pada masa sama, saya dapat berjumpa rakan artis lain. Ini kesempatan terbaik untuk bersua muka dan beramah mesra.

“Walaupun menyanyikan dua lagu saja, saya puas apatah lagi melihat sokongan diberikan. Paling penting, saya tetap memberikan nyanyian terbaik meski ia konsert percuma,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman, Dayang berkata, dia tidak berdepan insiden pelik sebaliknya lebih kepada seronok kerana dapat berjumpa peminat secara langsung.

“Biasanya selepas menyanyi peminat datang nak bergambar. Saya okey saja sebab bukan selalu dapat berjumpa. Apatah lagi ada antara mereka yang menunggu dari petang iaitu ketika sesi latihan.

“Pada masa sama, konsert sebegini dapat menarik perhatian peminat baru. Jadi, ia menyeronokkan,” katanya.

DAYANG menyanyikan single baru Layarlah Kembali.
DAYANG menyanyikan single baru Layarlah Kembali.

Sementara itu, Noh yang mewakili Hujan berkata, pembabitan pada konsert ini beserta misi amal mereka iaitu kerjasama dengan Abstrax dan Cinta Syiria Malaysia.

“Ini peluang kami untuk mempromosikan aktiviti amal bagi membantu rakyat Syiria yang dalam kesusahan. Pada karnival ini kami diberikan gerai dan hasil jualan kemeja-T disalurkan sepenuhnya kepada misi ini.

“Kami terhutang budi dengan karnival ini kerana sedikit-sebanyak memudahkan laluan kami mengumpul dana. Insya-Allah, dana yang ada dibawa ke sana bersempena program Qurban di Syiria. Saya dan isteri berangkat pada 19 Ogos ini,” katanya.

Pada acara itu, Hujan menyampaikan tiga lagu iaitu Suria, Obsesi dan Jutaan Jiwa.

NOH Salleh cukup bertenaga.
NOH Salleh cukup bertenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:24 PM