Rudy Imran Shamsudin

Selepas menerbitkan program masakan Biscoti yang disiarkan Ramadan lalu, Cef Zam dengan program terbaru Dapur Chef Zam menampilkan segmen menarik di samping mendidik masyarakat bagaimana hendak memasak dengan betul menggunakan peralatan yang betul.

Menceritakan mengenai program diterbitkan sendiri itu, Cef Zam atau nama sebenarnya Zamzani Abdul Wahab, Dapur Chef Zam yang disiarkan setiap Ahad, jam 9.30 malam di TV Okey, menjelaskan ia berupa program ketiga dihasilkan untuk RTM.

Peringkat awalnya tajuk rancangan terbabit lain, bagaimanapun pihak RTM sendiri meminta agar ia menggunakan judul Dapur Chef Zam

Program masakan ini bersiaran selama setengah jam dengan menampilkan tiga segmen, iaitu memasak dengan cara bakar dan panggang.

“Segmen kedua penyediaan hidangan ala fusion dan ketiga Manis menampilkan pelbagai resepi pencuci mulut. Menerusi Dapur Chef Zam ia menampilkan masakan antarabangsa, tetapi mudah dan boleh menggunakan bahan yang ada di sini.

“Sekarang ini pun kalau kita lihat ada juga bahan luar yang sudah dibawa masuk. Tak susah untuk cari. Begitu pun saya cuba memberi idea apabila memasak terutama apabila mencari barang-barang ganti yang susah untuk didapati atau tidak halal digunakan.

“Mengambil contoh untuk memasak yang mengunakan wain ia boleh digantikan dengan jus lemon. Mereka yang duduk di luar bandar susah untuk mendapatkan ‘cream’ boleh saja memasak pakai susu biasa.

“Program ini banyak memberikan cadangan bahan gantian. Jadi mereka yang duduk di kampung tidak bermakna mereka tidak boleh menikmati makanan luar, apa yang penting mereka harus lebih kreatif,” katanya.

Menampilkan artis undangan sebagai jemputan dalam setiap episod kecuali episod terakhir, kata Cef Zam kalau mengikut kehendak sendiri dia lebih selesa memasak dan mengacara sendirian di dapur.

“Saya selesa masak sendiri dan mengacara di dapur kerana lebih banyak info boleh dikongsi. Kalau ada artis jemputan ini lebih banyak ‘meraban’.

“Bagaimanapun, untuk dapur Cef Zam artis bukan saja menjadi penyeri sebaliknya mereka sama naik memasak dan belajar.

“Mengambil contoh Neelofa yang terbabit dalam salah satu episod tidak segan silu menyinsing lengan membantu menggaul bahan untuk panggang kaki kambing,” katanya.

Selain Neelofa antara selebriti lain terbabit dalam Dapur Chef Zam ialah Saharul Ridzwan, Adibah Noor, Amber Chia, Umie Aida, Zulin Aziz, Zara Zya dan Azrel Ismail.

Kata Chef Zam lagi, selalunya bagi program yang mempunyai artis jemputan, andai program diterbitkan 13 episod maknanya 13 artis akan ditampilkan.

Memberikan kelainan untuk program ini, untuk episod terakhir, Cef Zam akan mengendalikannya sendirian bagi memberikan fokus kepada pembelajaran selepas 12 episod program diterbitkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:16 PM