Bunkface (dari kiri) Youk, Sam dan Pa’an FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Syafil Syazwan Jefri


MENJELANG bulan Kemerdekaan, band Punk Rock, Bunkface ingin menganjurkan kempen khas Kibar Jalur Gemilang.

Sam selaku vokalis, berkata, mereka melihat kempen #kitapunya, #sayangimalaysiaku itu perlu dilakukan untuk mewujudkan semangat menginbarkan Jalur Gemilang dalam kalangan generasi muda.

“Semakin hari, semakin ramai generasi baru yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang seperti mana dilakukan generasi terdahulu.

“Kami sebagai pemuzik yang sering menghasilkan lagu-lagu untuk generasi muda terpanggil menyuarakan pendapat sekaligus mengajak mereka kembali mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, Jalur Gemilang adalah satu daripada lambang kebanggaan negara kita.

“Kalau dulu, di jalan raya contohnya, kita dapat melihat ramai pemilik kenderaan menggantung bendera dan ada yang memasang bendera dengan penuh semangat.

“Jadi, sedikit sebanyak, mungkin dengan adanya kempen sebegini, kita boleh menyemarakkan semula semangat untuk memasang bendera,” katanya.

Bunkface turut dianggotai Youk (gitar bass) dan Paan (gitar utama/rentak) juga muncul dengan lagu berjudul Kita Punya Malaysia, ciptaan Sam.

Lagu akan dilancarkan pada 4 Ogos depan itu diangkat sebagai lagu tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 5:25 PM