Nazri bersama penyampai Radio Era FM memotong kek dan pulut kuning. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ardini Sophia Sina


SEMPENA ulang tahun ke-20 yang jatuh hari ini, stesen radio Era FM memilih untuk meraikannya bersama anak-anak yatim di Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pengurus Rancangan Era FM, Nazri Noran berkata, mereka sepakat mengadakan sambutan secara sederhana dengan mengadakan majlis kesyukuran di rumah kebajikan berkenaan.

"Sebelum ini, kami kerap menyambut dengan acara yang gah. Namun, kali ini kami memilih untuk bersederhana dan berkongsi rezeki dengan anak- anak di rumah kebajikan ini.

"Ada banyak aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang kami jalankan. Tapi, ini adalah kali pertama ulang tahun disambut bersama anak-anak yatim," katanya.

Tambahnya lagi, Era FM akan terus komited menyajikan segmen serta menghiburkan pendengar menerusi susunan lagu-lagu hits dan celoteh penyampai radio.

Majlis kesyukuran dan sambutan ulang tahun ke-20 Era FM turut dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis dan penyampai radio.

Antaranya adalah Shiha Zikir, Awi Rafael, Wani Kecik, Dadali Band, Kay Khirdir, Johan, Haniff, Ray, Fad Bocey, Radin dan Dina Nadzir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 8:39 PM