Emosi Aznil tercetus tonton drama Jangan Benci Cintaku. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Emosi Aznil tercetus tonton drama Jangan Benci Cintaku. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Sudirman Mohd Tahir


PENGACARA tersohor, Datuk Aznil Nawawi mengakui emosi ‘dicuit’ setiap kali menonton drama Jangan Benci Cintaku yang ditayangkan di slot Akasia TV3 terutama membabitkan watak Husna dan Nek Pah.

Aznil, 56, berkata dia sanggup membuat video parodi dengan mencipta dialog sendiri kerana tidak bersetuju dengan tindakan dua watak itu terhadap Fika.

“Sejujurnya saya sudah lama tidak terjebak dengan drama Melayu dari episod pertama. Jalan cerita dan watak dalam drama ini membuatkan saya ingin menonton hingga episod akhir.

“Walaupun saya menonton di saluran Tonton, tetapi saya puas. Promo petikan setiap episod yang dimuat naik di IG lagi menambahkan rasa sakit hati dan tidak sabar untuk menonton.

“Disebabkan terlalu geram dengan Husna dan Nek Pah, saya sanggup buat video parodi dengan menggunakan dialog dan suara sendiri. Kalau saya pengarah, itulah dialog yang sepatutnya,” katanya kepada Harian Metro.

Aznil ditemui pada majlis pengumuman dan pelantikan sebagai duta program Festival Lola Baba Kids 2018 di sini, hari ini secara berseloroh akan ‘menyekolahkan’ pelakon, Niena Baharun (Husna) dan Azizah Mahzan (Nek Pah) jika terjumpa mereka.

“Saya minat drama ini sebab sukakan Zahirah. Saya pernah menemubual Zahirah dan menyifatkan dia seorang yang bijak, berbakat dan mempunyai pendapat tersendiri.

“Saya gembira apabila watak Fika melonjakkan lagi kerjaya seninya. Cuma, saya geram kenapa dia tidak mahu bersuara mempertahankan dirinya.

“Kalau kebetulan terjumpa Husna dan Nek Pah, memang saya ‘sekolahkan’ mereka. Supaya mereka tahu langit tinggi atau rendah. Dalam masa sama, nak beritahu tidak semua orang macam Fika,” katanya.

Mengenai festival bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Aznil berkata dia akan berada pada setiap hari dan terbabit dalam semua program disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 7:51 PM