Tony harap dapat bawa karakter aksi biarpun berusia 50 ke atas. FOTO fail HM Digital
Tony harap dapat bawa karakter aksi biarpun berusia 50 ke atas. FOTO fail HM Digital
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Tony Eusoff, 41, mengakui mencurahkan sepenuh waktunya kepada kariernya dan belum memikirkan mengenai jodoh.

Menurutnya, dia juga tidak akan pernah berkata penat kepada dunia lakonan memandangkan seni sudah sebati dengan dirinya.

"Seni dah jadi darah daging saya. Saya takkan cakap saya penat berlakon kerana saya terlalu cintakan kerjaya ini. Kerana itu jugalah, sehingga kini saya masih belum berumah tangga," katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelakon memulakan kerjaya seni sejak 2004 itu lagi, dia menjadikan bintang Hollywood, Tom Cruise dan Jackie Chan sebagai contoh.

"Lihat saja Tom Cruise dan Jackie Chan. Usia mereka bukan muda lagi, tapi tenaga mereka tidak pernah berkurangan setiap kali beraksi di depan kamera.

"Saya sentiasa berharap agar kalau boleh, walaupun usia saya sudah mencecah 50 tahun dan ke atas, saya masih mampu membawakan karakter aksi dan sebagainya," katanya.

Tambah Tony, dia juga kini semakin memberi perhatian kepada kesihatannya berbanding ketika zaman muda.

"Saya rasa, sekarang saya lebih cergas berbanding ketika berusia 20-an. Di usia sebegini, saya lebih peka kepada kecergasan dan kesihatan," katanya.

Terbaru, Tony kini menjalani penggambaran drama bersiri original Viu, kerjasama dengan Media Prima Berhad berjudul Jibril.

Selain Tony, Jibril arahan pengarah Megat Shahrizal turut dibintangi beberapa pelakon lain antaranya Aeril Zafrel dan Lisa Surihani.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 6:48 PM