Hazmeer masih tunggu keputusan doktor. FOTO fail HM Digital
Hazmeer masih tunggu keputusan doktor. FOTO fail HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman


"SELEPAS pembedahan hidung empat hari lalu, anak saya dijangkiti kuman.

“Doktor perlu ambil air tulang belakang untuk mengkaji jenis kuman yang merebak dalam tubuh badannya," kata anggota kumpulan lawak XOXO, Hazmeer Hassan mengenai situasi bayi lelakinya, Muhammad Sher Harraz yang mengalami masalah jantung sejak lahir.

Hazmeer atau dikenali Chot berkata, pembedahan hidung terpaksa dilakukan kerana terdapat tisu menghalang saluran pernafasan anaknya.

"Tisu ini sangat aktif kerana tumbuh semula selepas pembedahan. Manakala kuman pula sudah merebak ke dalam otak anak saya.

"Kami masih tunggu keputusan doktor samada nak ambil air tulang sum sum atau tulang belakang," katanya.

Sejak berita mengenai ujian yang dilaluinya tular, Chot yang pernah menyertai Maharaja Lawak Mega 2017 bersama kumpulan XOXO, menerima sokongan ramai rakan-rakan selebriti lain.

Mereka turut membantu menghulurkan sumbangan untuk menampung kos rawatan sekitar RM18,000 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Muhammad Sher Harraz kini berusia lebih sebulan mempunyai masalah injap jantung terbalik menyebabkan kekurangan darah memasuki paru-parunya sejak dilahirkan pada 16 Jun lalu.

Dia kini dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Melaka.

"Saya dan isteri sudah dua kali ke IJN bagi menjalani pemeriksaan dan pada fasa pertama doktor beritahu akan membuat pembedahan bagi menambah saluran darah ke paru-paru.

"Untuk pembedahan di IJN, kami perlu tunggu sehingga berat badannya mencecah tiga kilogram. Sekarang beratnya baru 2.7 kilogram," katanya.

Chot yang kini bekerja sambilan sebagai penyampai radio Melaka FM turut berkata, dia juga bercadang untuk membuat rayuan pengurangan kos apabila sudah mendapat tarikh pembedahan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 5:22 PM
Digital NSTP Subscribe