Teka-teki hubungan Priyanka Chopra dengan penyanyi popular Amerika Syarikat, Nick Jonas akhirnya terjawab selepas bintang drama Quantico itu mendedahkan mereka sudah bertunang.

Pengumuman itu dibuat Priyanka, 36, apabila dia memuat naik gambar pertunangan mereka di Instagram, Sabtu lalu.

“Diambil dengan sepenuh hati dan jiwa saya,” tulis Priyanka di samping memuat naik gambar romantis bersama Nick yang turut memperlihatkan cincin pertunangannya.

Sementara itu, Nick, 25, turut memuat naik gambar pertunangan mereka di Instagram.

“Bakal Puan Jonas. Hatiku. Cintaku,” tulis Nick.

Difahamkan, Nick melamar Priyanka sekitar Julai lalu selepas bercinta hampir enam bulan.

Lamaran terbabit dibuat dengan cincin empat karat jenama Tiffany & Co yang dianggarkan berharga kira-kira AS$200,000 (RM821,499).

Priyanka dan Nick kini berada di Mumbai, India untuk majlis pertunangan tradisi India iaitu Roka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 12:59 PM