Filem LCW akan ditayang di 8,000 pawagam China. FOTO poster Malaysian Cinema
Michelle Gun


FILEM biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi mencipta rekod apabila bakal ditayangkan di 8,000 pawagam China mulai 7 September ini.

Penerbit Eksekutif filem Lee Chong Wei, Jeff Zhang berkata, karya arahan Teng Bee itu menjadi filem pertama Malaysia yang mencecah jumlah tayangan sedemikian di China.

“Filem itu menerima banyak respons positif dari penonton di Malaysia. Pencapaian terbabit di China menandakan permulaan revolusi bagi industri perfileman tanah air,” katanya.

Justeru, Jeff berkata produksi mempunyai perancangan untuk membawa kisah Chong Wei dari filem ke novel.

“Chong Wei antara atlet asing yang terkenal dan juga disukai ramai di China.

“Poster filem itu sudah dikeluarkan di sana dan menunggu tarikh rasmi tayangannya iaitu 7 September ini,” katanya.

Sebelum ini, filem Lee Chong Wei melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records dan Asia Book of Record.

Ia menjadi tayangan perdana terbesar di Malaysia dan Asia dengan kehadiran seramai 20,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Filem itu dijayakan barisan pelakon, Datuk Rosyam Nor, Yeo Yan Yan, Mark Lee dan Tosh Chan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 7:24 PM