Taha (kiri) bersama Adam pada perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Taha (kiri) bersama Adam pada perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON, Adam Shahz dan penyampai radio, PU Taha teruja menyertai perbarisan kali pertama bersama kontinjen Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya Persint 3, Putrajaya, hari ini.

"Selepas seminggu menjalani latihan kawad kaki, berpanas dan berhujan, saya rasa bertuah dan bangga dapat meraikan sambutan hari ini terutama sempena Malaysia baru.

"Perasaan itu bukan saja buat saya malah pasti semua terbabit meraikan Hari Kemerdekaan ke-61 turut merasai perasaan sama," kata Adam.

PU Taha berkata merdeka bukan pada fizikal tetapi jiwa kerana bebas beribadah serta mengabdikan diri kepada Allah.

Katanya, itulah kebebasan sebenar umat Islam.

"Saya ucap terima kasih kepada APM kerana beri peluang kepada selebriti dan pegawai bersekutu menyertai perbarisan.

"Bukan senang dan hanya yang terpilih diberi peluang berada di acara itu," kata Taha.

Penyertaan Adam dan Taha mendapat pujian daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM YAS TPj (PA) Roslan Wahab.

Beliau berkata selebriti terbabit memberi komitmen tinggi dan menjadi contoh kepada masyarakat mengenali APM.

Pada perbarisan bermula jam 8 pagi itu, lebih 400 anggota APM seluruh Malaysia menyertainya.

Mereka dalam kalangan lebih 12 ribu peserta perbarisan daripada pelbagai agensi dan jabatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 3:35 PM