SUFIAN Suhaimi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin


“KALAU benar, saya doakan yang terbaik buat dia," ujar penyanyi Sufian Suhaimi mengenai bekas tunangnya juga selebriti, Elfira Loy yang didakwa sudah bertunang, semalam.

Elfira dikatakan selamat mengikat tali pertunangan dengan Pengurus Besar di syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota, Muhammad Faris Khairol Anuar, 27.

Elfira dan Faris yang mula mengenali Ramadan lalu dikatakan mengikat tali pertunangan di kediaman bakal pengantin perempuan, di Alam Damai.

Ditemui di konsert mingguan program realiti Big Stage, di Shah Alam, hari ini, Sufian bagaimanapun menegaskan tidak manis untuk dia bercakap lebih mengenai dakwaan pertunangan Elfira itu memandangkan mereka tidak lagi mempunyai sebarang hubungan.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan oleh netizen yang mengaitkan syarat diberikan ibu Elfira kepadanya berbanding lelaki bakal menikahi Elfira, kata Sufian dia sudah dapat menjangkakan perkara itu dan cuba untuk mengelak daripada dikaitkan.

"Apabila mendengar berita terbabit (pertunangan Elfira) saya sudah menjangka perkara itulah akan berlaku.

"Saya sebaik mungkin tidak mahu dikaitkan. Sebab itu saya cuba tidak memberikan komen mengenainya walaupun ramai netizen cuba mengaitkan nama saya," katanya.

Semalam media melaporkan mengenai dakwaan pertunangan Elfira dan jejaka pilihan hatinya.

Namun pelakon dan pengacara itu mahupun keluarganya mengambil tindakan berdiam diri dan enggan memberikan sebarang ulasan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 9:39 AM