FAN Bingbing
Susunan Michelle Gun

Susulan dakwaan mengelak daripada membayar cukai, bintang paling mahal China, Fan Bingbing dikatakan disekat daripada berlakon selama tiga tahun oleh penguat kuasa negara itu.

Baru-baru ini pula, beberapa syarikat besar dikhabarkan dalam pertimbangan menggugurkan nama Bingbing sebagai jurucakap produk mereka disebabkan skandal terbabit.

Menurut akhbar Mingpao, spekulasi itu timbul selepas De Beers tidak menjemput pelakon The Meg itu yang juga jurucakap jenama terbabit ke pelancaran butik baru di Xi’an.

Sebaliknya, pelakon Gao Yuanyuan hadir sebagai selebriti jemputan ke acara terbabit.

Dilaporkan jenama terkenal Guerlain dan Montblanc bimbang impak skandal Bingbing terhadap imej syarikat.

Sementara itu, Bingbing terus mendiamkan diri dan masih ‘hilang’ dari media sosial sejak laporan mengenai isu pembayaran cukai dilaporkan media China.

Tindakan pelakon dan penerbit berusia 36 tahun itu menyepi daripada media sosial sejak beberapa minggu lalu menimbulkan rasa bimbang peminatnya.

Di Weibo, Bingbing antara pengguna media sosial paling berpengaruh dan mempunyai lebih 62 juta pengikut.

Bingbing turut menempa nama di Hollywood dan pernah membintangi dalam filem adiwira X-Men: Days of Future Past pada 2014.

Pada Mei lalu, bekas penyampai televisyen China Central Television (CCTV), Cui Yongyuan menerusi Internet membongkar beberapa kontrak yang memberi bayangan Bingbing menerima bayaran ‘duit kopi’.

Dokumen itu mendakwa pelakon terbabit menerima bayaran 10 juta yuan untuk sebuah projek, namun secara tidak rasmi mendapat tambahan 50 juta yuan untuk tugasan selama empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:00 PM