DIDIE Alias. FOTO Syarafiq Abd Samad
DIDIE Alias. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ramlah Zainal


PADA usia 45 tahun, pelakon dan pengacara terkenal Didie Alias mengakui tidak kisah melakonkan apa saja watak termasuk nenek dalam drama mahupun filem.

Menurut pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd Ali ini, apa yang penting, watak ditawarkan itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

“Sebagai pelakon, kita tidak boleh memilih kerana setiap watak ditawarkan ada kekuatan tersendiri dan menghidupkan jalan ceritanya.

“Pelakon juga perlu mempelbagaikan watak dan tidak terikat pada sesuatu karakter saja sekiranya mahu jadi versatil.

“Namun, pengarah juga perlu peka jika menawarkan saya watak nenek dan tidak menggandingkan saya dengan pelakon hampir sebaya untuk menjadi anak saya dalam drama,” katanya.

Didie ditemui pada sidang media promosi jelajah produk kosmetik yang berlangsung di pusat beli- belah KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia dijayakan barisan selebriti popular seperti Hael Husaini, Haqiem Rusli, Aiman Tino, Achey Bocey dan Caprice.

Mengenai perkembangan karier seni, kata Didie, dia baru selesai penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Plan Cinta untuk TV3.

Drama bersiri ini dibintangi Nazrief Nazri, Redza Rosli dan ramai lagi.

“Saya melakonkan watak emak kepada hero dalam cerita komedi ringan ini.

“Selain itu, saya juga terbabit dengan drama sempena Anugerah Juara Lagu berjudul Makcik Unplugged berganding dengan Aiman Tino,” katanya.

Selain drama, Didie juga bakal terbabit dalam filem aksi komedi arahan Ghaz Abu Bakar pada Oktober nanti.

“Saya terima tawaran Ghaz kerana wataknya menarik.

“Ia juga kemunculan semula selepas lapan tahun tidak berlakon filem.

“Kali terakhir saya berlakon filem aksi komedi Oh Mak Kau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 8:24 PM