TILLA Hanna.
Norhayati Nordin

Minat menyanyi sejak kecil membuatkan bakat baru Tilla Hanna, 19, enggan melepaskan peluang depan mata.

Apatah lagi, bakat nyanyiannya diyakini komposer dan penerbit album berpengalaman, Audi Mok.

Sebagai pengenalan, Tilla Hanna tampil dengan single Speaker.

Single Speaker yang bergenre pop moden adalah hasil ciptaan serta lirik bersama Audi Mok dan Tilla Hanna.

Berbicara lanjut mengenai single Speaker, Tilla Hanna berkata kisah dimuatkan dalam lagu itu berdasarkan pengalaman sendiri.

“Ia kisah cinta saya sendiri dengan kekasih. Jadi, single Speaker ini sangat dekat dengan jiwa saya.

“Diharapkan single ini menjadi perhatian pendengar dan mesra radio,” katannya.

Pemilik nama sebenar Atilla Hanna Zakaria ini juga mengakui dia tidak gentar berhadapan saingan penyanyi lain.

Bernaung di bawah Monkey Bone, Tilla Hanna berkata dia perlu membahagi masa di antara pelajaran dan karier nyanyian.

Menurut pelajar jurusan Diploma Komunikasi di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) ini, penting untuk dia menamatkan pelajarannya.

“Keluarga tidak menghalang pembabitan saya dalam karier nyanyian tetapi pelajaran mesti ditamatkan.

“Sehubungan itu, saya akan pastikan pelajaran dan nyanyian bergerak seiring,” katanya yang selesa berbahasa Inggeris.

Ditanya mengapa tidak muncul dengan single bahasa Inggeris, Tilla Hanna berkata dia sedar industri hiburan di negara ini lebih tertumpu kepada pasaran lagu bahasa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:33 AM