Anak-anak menjadi kekuatan Amelina bertahan. FOTO fail HM Digital/Instagram
Anak-anak menjadi kekuatan Amelina bertahan. FOTO fail HM Digital/Instagram
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI dangdut Amelina mengakui tidak sepenuhnya menikmati erti kebahagiaan sepanjang lebih 10 tahun berkahwin dengan bekas suami, Reduan Mahmood.

Amelina, 44, atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berkata anak-anak menjadi kekuatan untuknya bertahan.

“Saya tidak puas merasai indahnya menjadi permaisuri. Apa yang membuatkan jiwa ini bertahan ketika itu hanyalah anak-anak yang menjadi pengubat hati.

“Tetapi sejujurnya tidak sekelumit pun saya berasa kesal kerana semua itu adalah ketentuannya,” tulisnya di Instagram.

Amelina yang popular menerusi lagi Asyik berkata hati wanita ibarat lautan yang penuh rahsia.

Menerusi status sama, Amelina turut meletakkan #nangisbucukatil #sampaipeningkepalamenangis dan #nangisituterapijiwa.

Amelina dan Reduan berkahwin pada 20 Mei 1999 dan sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu Rindu itu menghilangkan diri daripada dunia hiburan.

Hasil perkahwinan dengan usahawan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, 17, Putera Al’ Affiq, 16, Putera Al’ Asyraff, 15, Puteri Nur’ Asyurah, 13, Putera Al’ Arffa, 11 dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.

Pasangan itu dilaporkan bercerai pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:35 PM