SHAKIMIN
Norhayati Nordin

Jika diukur permulaan langkah pendatang baru, Shahkimin, 29, dalam bidang lakonan, ia bermula sejak 2007.

Namun, baru kini Shahkimin atau nama sebenarnya Mohd Shahrul Hakimi Mohamad Amin memperoleh peluang besar diimpikan.

Segala-galanya berlaku selepas pengarah filem berkaliber, Osman Ali memberi kepercayaan kepada Shahkimin membintangi filem terbarunya, Langsuir.

Filem Langsuir yang diterajui Syafiq Kyle dan Hannah Delisha akan ditayangkan mulai 20 September ini.

Berbicara mengenai Langsuir, Shahkimin berkata, dia mendapat kepercayaan Osman melakonkan watak pembantu sebagai Udin.

“Udin rakan baik Azlan (lakonan Syafiq) yang paling ceria. Boleh dikatakan, ia sesuai dengan perwatakan diri saya.

“Untuk mendapatkan watak Udin ini, saya menjalani tiga kali sesi uji bakat dengan Osman. Ternyata, bukan sesuatu yang mudah. Terus terang, Osman sangat teliti dalam hasil kerjanya dan dia juga peka kehendak skrip. Bekerja dengan Osman, dia sentiasa berbincang dengan pelakon,” katanya.

Shahkimin berkata, dia juga menyimpan impian sangat lama untuk bekerja di bawah arahan Osman sejak filem Anak Halal kira-kira sedekad lalu.

“Kini, saya bersyukur apa yang diimpikan selama ini sudah jadi kenyataan. Malah, saya selesa bekerja dengan Osman yang banyak membantu dan tidak lokek berkongsi ilmu.

“Harapan saya, semoga filem Langsuir ini berjaya di pawagam dan mendapat sambutan baik penonton. Teruskan memberi sokongan pada karya filem tempatan,” katanya.

Ditanya mengenai hala tujunya dalam karier seni, Shahkimin berkata, dia berharap akan lebih mendapat peluang berlakon termasuk sedia mencuba bakat sebagai pengacara program TV.

Selain filem Langsuir, setakat ini Shakimin sudah membintangi drama Sejuta Rasa Buat Adelia lakonan Aliff Aziz dan Daiyan Trisha serta telefilem, Hilang Akal arahan Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:00 PM