X
SITI Elizad memuat naik gambar di Instagram susulan keadaan kesihatannya selepas menjalani pembedahan membuang cyst. FOTO Instagram Siti Elizad
SITI Elizad memuat naik gambar di Instagram susulan keadaan kesihatannya selepas menjalani pembedahan membuang cyst. FOTO Instagram Siti Elizad
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Siti Elizad berkongsi menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst, minggu lalu.

Elizad, 34, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata, tindakannya itu disebabkan dia tidak boleh ‘duduk diam’ selain sentiasa ingin keluar rumah.

“Saya boleh jalan macam biasa, cuma kena perlahan-lahan. Tapi saya jenis yang aktif dan tak biasa jalan perlahan. Jadi, saya ambil keputusan menggunakan kerusi roda. Cepat sikit pergerakan.

“Saya juga jenis tidak boleh duduk diam. Selepas diberitahu saya kena banyakkan rehat macam orang berpantang, kepala otak saya ‘jammed’ sekejap.

“Kalau perasan di Instagram, banyak juga aktiviti dalam dan luar rumah saya buat. Bezanya saya kena pakai kerusi roda. Kalau tidak, mungkin orang tak tahu saya baru lepas menjalani pembedahan,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya selepas 10 hari menjalani pembedahan kali kedua membuang ketumbuhan itu, Elizad yang juga juara program Gempak Superstar berkata, dia beransur sembuh.

Menurut Elizad, dia juga sudah mulai mendapat tawaran berlakon dan bakal kembali ke lokasi penggambaran bulan depan.

“Orang sakit kena rehat, tetapi saya sibuk baca skrip. Alhamdulillah, ada tiga tawaran berlakon drama diterima. Insya Allah, bulan depan saya cukup sihat untuk kembali bekerja.

“Saya tidak sabar nak memulakan aktiviti dan rutin seharian seperti sebelum ini. Namun, ada hikmah juga saya menjalani pembedahan kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama suami dan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 11:00 AM