RIZ Amin
Norhayati Nordin

Kalau diukur pembabitan karier seni pelakon Riz Amin, 33, diam tak diam perjalanannya sudah menjangkau 13 tahun.

Memulakan langkah pada 2005, Riz atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin lebih banyak mendapat peluang berlakon drama.

Sama ada watak baik atau antagonis, boleh dikatakan Riz berjaya membuktikan bakatnya.

Namun begitu, bersandarkan pengalaman Riz turut berpeluang beraksi di layar lebar.

Terbaru, anak jati Kedah ini akan muncul dengan filem Kalla: Hidup Atau Mati di pawagam pada 11 Oktober nanti.

Melakonkan watak antagonis, Riz berkata dia teruja tampil sebagai Kasmuri, pemuda keturunan Bajau.

“Dalam filem ini saya mencabar diri melakonkan karakter berat.

“Buat pertama kali dalam sejarah karier lakonan saya, watak Kasmuri risiko paling besar pernah saya lakukan.

“Saya cabar diri bertutur dalam bahasa Bajau dan ia bukan mudah. Meskipun mendapat bimbingan guru bertauliah, ia cukup mencabar,” katanya.

Menurut bapa seorang anak ini, dia berterima kasih kepada pengarah filem itu yang yakin dengan kewibawaannya.

“Pada mulanya, saya bimbang juga melakonkan watak Kasmuri kerana perlu berdialog dalam bahasa Bajau.

“Saya bukan orang Sabah, jadi takut juga kalau tidak menjadi. Bagaimanapun, pengarah banyak memberikan kata-kata semangat.

“Ditambah pula, ada guru yang melatih saya. Dengan sokongan yang ada, saya berusaha berikan yang terbaik,“ katanya.

Mengharapkan filem Kalla mendapat sambutan, Riz berkata semuanya di atas penilaian penonton.

“Bagaimanapun, sokonglah industri filem tempatan. Sesungguhnya, bukan mudah untuk sesebuah karya seni dihasilkan.

“Diharap filem ini dapat sambutan baik penonton memandangkan ia mengentengahkan genre baru di sini,” katanya.

Filem Kalla: Hidup Atau Mati bergenre aksi dan pengembaraan menampilkan barisan pelakon lain seperti Faizal Hussein, Azhan Rani, Vanida Imran, Zaidi Omar, Adam Shahz dan Fara Ali Khan.

Selain itu, Riz dipilih membintangi filem sekuel Polis Evo 2 yang menggandingkannya dengan Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Filem Polis Evo sebelum ini pernah mencatat kutipan pecah panggung lebih RM17 juta pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:33 AM