Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI dangdut popular, Mas Idayu kerugian RM6,000 apabila duit simpanan dalam akaun bank lesap tanpa pengetahuannya.

Mas Idayu, 49, atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun ketika dihubungi berkata, berlaku pengeluaran RM1,500 sebanyak empat kali pada 13 September lalu.

"Kali terakhir saya membuat transaksi menggunakan kad debit pada 11 September sebanyak RM600 iaitu membeli kek hari jadi anak. Namun, saya dapat notifikasi dalam talian menyatakan pada 13 September terdapat transaksi lain berjumlah RM6,000.

"Saya terus menghubungi talian hotline bank berkenaan dan bertanya lebih lanjut. Saya dimaklumkan empat pengeluaran itu dibuat di empat bank berlainan. Sedangkan, kad ada pada saya.

"Memang pelik macam mana ia boleh berlaku apatah lagi ketika itu saya berada di kampung di Kota Tinggi. Bagi saya ini perkara serius dan tidak boleh dibiarkan," katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu Mas Idayu yang juga juri program D’Academy Asia membuat laporan di Balai Polis Kota Tinggi pada 13 September lalu.

Mas Idayu berkata, laporan itu juga sudah dirujuk ke Balai Polis Damansara dan diserahkan ke cawangan bank berkenaan di pusat beli belah di Damansara.

“Saya yakin ini kerja orang cerdik. Kalau tidak bagaimana boleh berlaku transaksi tanpa pengetahuan saya. Saya tidak pernah berikan kad kepada orang lain malah kalau nak keluarkan duit pun orang teman saja.

“InsyaAllah esok saya ke cawangan bank berkenaan untuk siasatan lanjut. Saya reda sekiranya duit tidak dapat dipulangkan. Sekurang-kurangnya saya sudah berusaha.

“Buat masa sekarang, saya sudah tutup sementara akaun bank itu. Saya mahu selesaikan dahulu masalah ini,” katanya.

Masalah dihadapi Mas Idayu itu turut dikongsi di Instagram dua hari lalu dan mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen.

“Saya muat naik video di IG sekadar untuk berkongsi pengalaman dilalui. Ini kali pertama saya terkena. Mungkin dulu ada juga, tapi saya tidak pernah periksa.

“Tidak menjangka pula, perkongsian itu mendapat maklum balas yang mana ramai terkena masalah sama juga dari bank sama. Malah ada mencadangkan saya untuk terus ke Bank Negara.

“Apa pun, saya tunggu dulu maklum balas daripada pihak bank,” katanya.

Video yang dimuat naik itu ditonton lebih 63,000 dan mendapat lebih 300 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 2:54 PM
MAS Idayu muat naik video di akaun Instagramnya untuk berkongsi pengalaman dilalui. FOTO Instagram Mas Idayu