Zaidi Mohamad


KUALA LUMPUR: Sikap ‘sporting’ empat artis yang turut serta dalam pertandingan zumba membabitkan kelab peminat di perkarangan Istana Budaya pada acara #FANtastik bersempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 mencuri tumpuan ramai.

Antara mereka termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membuat kejutan dengan menari bersama kelab peminatnya, Sitizoner.

Gelek penyanyi terkenal itu mencuri tumpuan ramai sekalipun Siti difahamkan tidak membuat sebarang latihan khusus.

“Saya berterima kasih kepada BH dan ABPBH kerana terus mengeratkan hubungan artis dengan peminat.

“Terima kasih juga kepada Sitizoner yang terus menyokong saya sekalipun tidak bertanding lagi dalam ABPBH. Malah, mereka giat untuk turut serta dalam acara ini termasuk berlatih menari zumba.

BARISAN juri yang hadir pada program #FANtastik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Istana Budaya. FOTO Mahzir Mat Isa
BARISAN juri yang hadir pada program #FANtastik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Istana Budaya. FOTO Mahzir Mat Isa

“Syabas juga kepada artis dan kelab peminat lain yang bersungguh-sungguh menyertai acara sebegini,” kata Siti.

Pada acara itu juga Siti turut menyumbangkan lagu Comel Pipi Merah sebelum bergegas pulang kerana perlu membuat persediaan bagi persembahan di sebuah stesen penyiaran, petang ini.

Terdahulu, penyanyi lagu Anta Permana itu singgah di booth Sitizoner yang turut mempamerkan sebahagian trofi dan busana yang dipakainya pada malam kemuncak ABPBH.

Selain Siti, Haiza, Fasha Sandha dan Emma Maembong juga tidak berkira apabila sama-sama menari dengan anggota kelab peminat mereka.

Turut sama menyertai acara zumba pagi tadi ialah kelab peminat Khai Bahar, Syafiq Kyle, Farah Nabilah, Hael Husaini dan Janna Nick.

Seterusnya pada 1.30 tengah hari ini akan berlangsung pertandingan ‘flashmob’ membabitkan empat kelab peminat.

Selain hadiah yang menanti juara pertandingan zumba dan flashmob yang akan diumumkan petang nanti, penganjur turut menyediakan ganjaran bagi pemenang kategori FC Paling Sempoi, FC Paling Havoc dan FC Paling INFINITI.

Sementara itu, bertempat di Lambang Sari, majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 31 turut diadakan dengan berkongsi butiran mengenai pengacara, artis yang bakal membuat persembahan dan penyampai trofi pada malam 7 Oktober depan.

Majlis yang akan bermula jam 3 petang itu, bagaimanapun hanya dibuka kepada penaja dan tetamu jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 1:14 PM
DATUK Seri Siti Nurhaliza berzumba bersama Sitizoners pada program #FANtastik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Istana Budaya. FOTO Mahzir Mat Isa
DATUK Seri Siti Nurhaliza berzumba bersama Sitizoners pada program #FANtastik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Istana Budaya. FOTO Mahzir Mat Isa