BEN Ladin. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Ben Ladin tetap akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini meskipun bersekolah di rumah.

Ben, 17, atau nama sebenarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan berkata, sesi pembelajaran harian dipantau guru selain turut menjalani peperiksaan biasa bagi penilaian prestasi.

"Saya sekolah di rumah sejak tingkatan satu lagi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tahun ini saya akan mengambil SPM.

"Walaupun sekarang sibuk mempromosikan single Hikayat Ben Ladin, saya tidak lupa untuk belajar. Meskipun setiap minggu kelas tidak menentu, saya tetap akan pastikan tidak akan 'skip'.

"Setiap sesi bermula 8 pagi hingga 3 petang membabitkan tiga mata pelajaran. Malah, saya juga diberikan peperiksaan macam pelajar lain. Ia bagi menilai prestasi pelajaran saya. Dari situ saya boleh tahu kelemahan," katanya kepada Harian Metro.

Ben berkata, sekolah di rumah lebih mudah terutama sejak aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Keputusan ini mendapat sokongan kedua ibu bapa. Dalam masa sama, ia memudahkan saya untuk aktif dalam bidang seni.

"Kalau sekolah biasa, bimbang nanti ia menyusahkan pihak lain jika kerap ponteng sekolah. Lagi pula, sekolah di rumah waktu lebih fleksibel dan cikgu boleh ikut jadual saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 2:58 PM