DAIYAN bekerja keras menamatkan pengajian. FOTO - IG/Daiyan Trisha
Georgie Joseph


PENYANYI dan pelakon Daiyan Trisha tidak peduli dengan komen netizen yang memperlekeh kejayaannya menamatkan pengajian dan mendapat Anugerah Dekan, baru-baru ini.

Daiyan, 25, berkata, dia bekerja keras untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) walaupun sibuk dengan kerjaya seni.

“Setakat ini ada seorang meninggalkan komen sebegitu, tapi saya memilih untuk tidak memberikan perhatian kepadanya disebabkan ramai yang tidak putus-putus memberi kata sokongan.

“Namun saya perlu beritahu individu itu dia tiada hak mahu memperlekeh pencapaian saya atau sesiapa saja pun,” katanya.

Individu terbabit meninggalkan komen dengan mengatakan Daiyan mudah memperoleh ijazah berkenaan kerana ia dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Penyanyi lagu Langit itu juga berhajat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana tetapi belum memutuskan bila ia akan dilakukan.

“Insya-Allah, saya akan sambung. Bagaimanapun, setakat ini saya belum menetapkan sebarang perancangan,” katanya.

Daiyan menamatkan pengajiannya di universiti berkenaan tahun lalu. Sebelum ini Daiyan memiliki Diploma Perakauan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:43 PM