Skip this ad x
AKIM mahu Stacy cuba bidang baru selain menyanyi dan menari. - Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI Akim Ahmad mahu isterinya yang juga penyanyi popular Stacy Anam menjadi komposer dan penulis lirik.

Akim yang juga penyanyi Akim & The Majistret berkata, dia mahu Stacy selesa sebagai seorang penulis lirik atau komposer kerana dia ada melodi tersendiri dan keinginan dari segi muzik dan lirik yang ingin disampaikan.

“Memang itu sasaran saya. Tidak salah saya galakkan Stacy ke arah itu kerana dia sudah lebih 10 tahun dalam industri muzik dan pengalamannya boleh diketengahkan sebagai pencipta dan penggubah lagu,” katanya.


STACY berbakat sebagai penulis lirik dan komposer. - Arkib NSTP

Akim berkata demikian berikutan ramai yang memuji single terbaru Akim & The Majistret berjudul Rampas yang ditulis Stacy.

Katanya, tidak bermakna sebagai suami dia tercabar atau mahu isterinya itu berhenti menyanyi pada masa depan.

“Stacy sudah berada di kelas tersendiri. Ini untuk perkembangan kerjayanya dan cabaran selain menari dan menyanyi. Sekurang-kurangnya ada satu lagi perkara dia boleh kembangkan,” katanya.

Akim memuji karya isterinya itu kerana ada keistimewaan dari segi penggunaan ayat-ayat jalanan yang ada maksud tersendiri.

Namun, ada yang berpendapat lagu Rampas sengaja dikaitkan dengan situasi politik yang berlaku di negara terutama membabitkan keputusan Pilihan Raya Umum lalu.

“Terpulang kepada pendengar, tapi kami ada merujuk keinginan orang, apa kisah menarik perhatian dan ia jadi salah satu idea untuk hasilkan lagu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 5:08 PM