Dayang (kiri) mahu Sarah diberi peluang. FOTO fail HM Digital
Rudy Imran Shamsudin


“JANGAN bandingkan kami dan beri dia peluang”.

Begitulah reaksi penyanyi popular Dayang Nurfaizah apabila banyak pihak mengaitkan juara program realiti Big Stage, Sarah Suhairi dengan dirinya.

Kata Dayang, sebaiknya semua peminat industri menerima kehadiran bakat baru seperti Sarah dengan tangan terbuka dan tidak mengaitkan suaranya dengan penyanyi sedia ada.

Sebaik bakat Sarah dipertontonkan kepada umum menerusi program Big Stage, kebanyakan komen mengaitkan Sarah dengan Dayang.

Sebahagian netizen mendakwa penyanyi popular dengan lagu Pedih itu tidak ada identiti sendiri dan cuba meniru gaya nyanyian Dayang.

Dayang yang menonton persembahan dilakukan Sarah dalam program itu menegaskan, suara penyanyi cilik itu berbeza dengan suaranya.

“Mungkin Sarah menjadikan penyanyi senior sebagai inspirasi. Penonton melihat lontaran suaranya mirip dengan beberapa penyanyi sedia ada.

“Sebagai penyanyi baru ia biasa. Ia berlaku disebabkan mereka menjadikan penyanyi diminati sebagai rujukan,” katanya.

Dayang yakin Sarah akan menimba lebih banyak ilmu teori mahupun pengalaman apabila menyertai industri.

“Perkara itu perlahan-lahan akan membantu gaya dan corak nyanyian Sarah dan dia akan membina identitinya sendiri,” katanya.

Jelas Dayang yang sudah lebih 15 tahun terbabit dalam industri muzik tempatan, di awal kemunculan dia turut berdepan situasi sama.

“Sebaiknya pada saya, peminat akan terus memberikan sokongan dan jangan memberikan komen boleh melemahkan semangat pendatang baru seperti Sarah untuk terus berusaha mempamer persembahan terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 3:02 PM