DJ Dave kecewa dengan segelintir blogger dan pelayar laman sosial yang suka menyebarkan berita tidak benar mengenai kematian artis. FOTO -Arkib NSTP.
DJ Dave kecewa dengan segelintir blogger dan pelayar laman sosial yang suka menyebarkan berita tidak benar mengenai kematian artis. FOTO -Arkib NSTP.
Michelle Gun


YAYASAN Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) kesal dengan sikap sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan berita kematian artis walaupun tidak mendapat maklumat sahih.

Presidennya, Datuk DJ Dave mengingatkan blogger dan pelayar laman sosial supaya tidak dengan mudah menyebarkan berita membabitkan kematian seseorang artis hanya kerana mereka mahu menjadi orang pertama melaporkan sesuatu kejadian.

Sebaliknya, individu yang menulis cerita berkenaan perlu mendapatkan pengesahan daripada ahli keluarga atau pihak media bertauliah terlebih dulu.

"Hal kematian tidak wajar dijadikan bahan permainan di media sosial dengan sewenang-wenangnya. Perlu disahkan sumbernya oleh ahli keluarga terlebih dulu. Itu yang menjadi amalan media utama di negara kita sebelum ini dan perlu dicontohi.

"Sikap sesetengah blogger yang sengaja menjadikan isu kematian artis sebagai bahan berita mereka walaupun sumbernya tidak sahih tidak wajar kerana setiap penulisan perlulah mempunyai integriti. Kasihanilah keluarga artis itu. Kita tidak boleh menulis berita yang tidak benar terutamanya membabitkan kematian. Ia bukan etika yang baik kerana soal kematian orang lain bukanlah berita yang boleh disensasikan," katanya.

Dave merujuk kepada beberapa laporan kematian palsu membabitkan artis yang dilihat begitu rancak dimainkan di media sosial akhir-akhir ini.

Terbaru ialah mengenai penyanyi popular Saleem yang dikatakan sudah meninggal dunia walaupun sebenarnya Saleem sedang dirawat di hospital selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 20 September lalu.

Menurut Dave, ahli keluarga Saleem tertekan dengan berita yang tular itu dan ini adalah kejadian kedua membabitkan 'kematian’ penyanyi itu.

"Ketika melawat Saleem di hospital semalam, keadaannya agak stabil tetapi perlu berada di bawah pemantauan pihak hospital. Kita sama-sama berdoa supaya Saleem segera sembuh dan boleh kembali menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Dave turut mengucapkan takziah kepada keluarga komposer popular, Allahyarham Datuk Shuhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Batam, Indonesia, semalam.

Dave berkata, pemergian Pak Ngah adalah kehilangan amat besar buat industri seni negara, khususnya dalam perjuangan irama Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 5:35 PM