Remy tidak mahu masalah wujud di kemudian hari. FOTO ASWADI ALIAS
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Remy Ishak menyifatkan tempoh hampir dua tahun bertunang dengan Roszaliza Yusof adalah proses untuk wanita itu faham dan mengenali dirinya.

Remy, 36, atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata dia tidak mahu timbul masalah selepas berkahwin jika wujud ketidaksefahaman dalam perhubungan.

“April tahun depan genap dua tahun kami bertunang. Memang ramai tanya bila majlis kahwin berlangsung. Saya manusia biasa yang merancang. Kalau boleh memang nak kahwin dah. Tetapi ada perkara yang tidak boleh dijangka berlaku.

“Buat masa sekarang saya perlu beri keutamaan dan perhatian kepada keadaan kesihatan ibu yang perlu menjalani pembedahan jantung dan buang tonsil. Jadi saya kena sediakan wang yang cukup.

“Disebabkan itu, saya berharap tunang dan pihak keluarga sana faham apa dilalui sekarang. Bagi saya ini semua jodoh. Ada sebab kenapa Allah datangkan ujian ini,” katanya kepada Harian Metro.

Remy ditemui pada tayangan episod pertama drama Lelaki Kiriman Tuhan malam tadi berkata, dia hanya berfikiran positif dengan apa diterima sekarang.

Remy juga mengakui perhubungan dilalui ada pasang surut namun sebagai lelaki dia kena bijak mengawal situasi.

“Perkara ini membabitkan dua pihak. Jadi, semua kena faham. Pihak sana juga kena tahu saya ada banyak tanggungjawab. Kalau memang tidak faham, susah untuk teruskan hubungan. Saya tidak mahu berlaku masalah di kemudian hari.

“Setiap yang berlaku ini bukan disengajakan. Ini adalah ketentuan Allah. Jadi, perlu untuk saya mencari pasangan yang betul-betul memahami saya. Tidak dinafikan, dengan apa dilalui sekarang, berkemungkinan majls kahwin lambat lagi.

“Apa pun dilalui, saya tetap positif. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini yang mana Allah nak tunjuk saya belum sedia pikul tanggungjawab sebagai suami,” katanya.

Mengenai drama arahan Rashid Sibir itu, Remy bergandingan dengan Mira Filzah selaku watak utama.

Drama 18 episod itu akan ditayangkan 1 Oktober ini jam 9 malam di saluran Astro Oasis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:22 PM