PENGARAH Filem Munafik 2, Syamsul Yusof (dua kanan) dan Penerbit, Datuk Yusof Haslam (kanan) bergambar bersama barisan pelakon filem berkenaan. FOTO - Arkib NSTP.


FILEM Munafik 2 terus melakar kejayaan luar biasa di Indonesia apabila ditayangkan di 116 pawagam sejak 26 September lalu.

Penerbit Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, disebabkan sambutan hangat diterima, jumlah panggung ditambah atas permintaan pemilik pawagam.

"Dalam masa tiga hari tayangan, Munafik 2 berjaya menembusi 116 pawagam berbanding 50 pawagam pada hari pertama tayangan di Jakarta pada 26 September lalu.

"Saya difahamkan jumlah pawagam akan terus meningkat sekiranya menerima maklum balas positif daripada penonton," katanya.

Menurut Yusof, setakat empat hari tayangan di Indonesia, Munafik 2 berjaya mengutip sebanyak RM1 juta.

"Alhamdulillah Munafik 2 mencipta sejarah sebagai filem Malaysia paling laris di Indonesia. Rata-rata penonton menyukai filem ini dan ramai yang menangis di akhir cerita. Bagi mereka, ini adalah filem seram dakwah yang sangat meninggalkan kesan.

“Saya bersyukur dengan sambutan ini. Ia amat bermakna buat industri filem tanah air," katanya.

YUSOF Haslam lega dengan pencapaian Munafik 2 di Indonesia.

Terdahulu, Munafik 2 memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling laris apabila mencatat kutipan sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari tayangan.

Filem arahan dan lakonan Syamsul Yusof itu turut dibintangi Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 5:48 PM