Dayang bersama pengurusnya. FOTO @kit_entertainment
Dayang bersama pengurusnya. FOTO @kit_entertainment
Norhayati Nordin


KEADAAN penyanyi Dayangku Intan, 53, makin stabil dan sudah ditempatkan ke wad biasa sejak semalam, selepas selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggangnya, Sabtu lalu.

Dayang bersama suaminya. FOTO @kit_entertainment
Dayang bersama suaminya. FOTO @kit_entertainment

Dayangku Intan mendermakan ginjalnya kepada suami tercinta, Rosman Yahil, 56, yang disahkan mengalami masalah kegagalan organ buah pinggang akibat kencing tikus.

Turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal, jangkitan kencing tikus dialami Rosman merebak ke buah pinggang hingga gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.

Justeru, ingin melihat suaminya kembali pulih mendorong Dayangku Intan nekad mendermakan satu buah pinggangnya.

Pengurus penyanyi itu, Rushuhaimin Ab Rahman dihubungi berkata Dayangku Intan dijangka berada di hospital kira-kira lima hari lagi sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Alhamdulillah, keadaan Intan kini stabil tetapi masih memerlukan rehat yang cukup. Terima kasih di atas doa diberikan.

“Cuma, Rosman masih lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut meskipun keadaannya juga dilapor stabil.

“Pun begitu, semalam (Ahad) apabila Rosman sedar dia terus bertanya keadaan isterinya kepada saya.

“Begitu juga Intan, sebaik saja sedar keadaan Rosman yang ditanya. Ia sangat menyentuh hati saya,” katanya.

Rushuhaimin berkata apa pun dia bersyukur urusan pembedahan pasangan suami isteri itu dipermudahkan Allah SWT dan berjalan lancar.

“Cinta dan kasih sayang mereka sangat utuh dan saya sendiri kagum dengan semangat kental Intan untuk menyelamatkan suaminya.

“Ternyata pengorbanan dilakukan Intan buat suami, Rosman sangat besar dan dia seorang berhati mulia.

“Apapun, bagi pihak Intan dan suaminya, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan mereka,” katanya.

Pasangan yang sudah 34 tahun hidup bersama itu selamat menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.

Menurut Rushuhaimin, Dayangku Intan menjalani pembedahan selama tiga jam manakala Rosman pula berada lima jam dalam dewan pembedahan.

Hasil perkongsian hidup Dayangku Intan dan suami, mereka dikurniakan empat orang anak dan kini memiliki seorang cucu.

Dayangku Intan mencipta nama sebagai penyanyi era 1980-an pernah popular dengan lagu superti Kita Insan Biasa, Semakin Rindu Semakain Sayang dan Berpahut Di Dahan Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 5:11 PM
Digital NSTP Subscribe