ANTARA adegan dalam filem Mencari Rahmat.
ANTARA adegan dalam filem Mencari Rahmat.
Ridzuan Abdul Rahman

Permulaannya, Al Jafree Md Yusop diberikan kepercayaan AB Roll Sdn Bhd bagi mengarahkan telefilem Melur VS Rajawali, Kembara Nak Dara dan Rahim Takut Nak Azan.

Kemampuannya diakui apabila telefilem ini mendapat sambutan hangat penonton dan seterusnya membuka peluang buatnya mengarahkan filem pertama berjudul Mencari Rahmat.

Diadaptasi daripada karya Oscar Wilde berjudul The Importance of Being Earnest, Al Jafree mula menulisnya dalam versi tempatan sejak hampir 15 tahun lalu dan pernah dipentaskan dalam bentuk teater di ibu negara.

Sebagai adaptasi, filem Mencari Rahmat tampil dalam genre komedi romantik, satira penuh sarkastik dan kritik sosial yang mampu menghiburkan penonton.

Ada kelainan dalam filem indie ini berbanding filem komersial yang sering menemui penonton di pawagam.

Barisan pelakonnya bukan calang-calang kerana semuanya penuh berkaliber dan mempunyai kualiti tersendiri seperti Fauziah Nawi, Nam Ron, Adibah Noor, Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Azman Hassan, Amerul Affendi dan Eric Fuzi.

Tidak dinafikan naskhah Mencari Rahmat mantap dan menghiburkan pada mereka yang menggemari konsep ceritanya.

Ia juga sudah ditayangkan di Kota Kinabalu International Film Festival pada Julai lalu, selain ditayangkan dalam bentuk tayangan tertutup.

AL Jafree.
AL Jafree.

Al Jafree mengakui pasukannya sudah bersedia dengan strategi pemasaran tersendiri bagi memastikan filem yang dilabel PG 18 ini diterima penonton.

“Memang penerbit ada perancangan untuk menayangkan filem ini di pawagam pada tahun depan. Buat masa ini kami buat tayangan eksklusif untuk mereka yang berminat saja.

“Ia sebenarnya bergantung kepada lokasi tayangan itu sendiri. Contohnya hari ini (baru-baru ini) kami adakan di Galeri Ilham, Menara Ilham, Kuala Lumpur.

“Akan datang kami akan buat di pawagam yang boleh memuatkan 200 penonton di Johor dan seterusnya di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang yang boleh memuatkan 1,000 penonton,” katanya.

Menyaksikan Mencari Rahmat, didapati penggunaan beberapa dialog kurang enak turut dituturkan dalam filem ini.

ANTARA adegan dalam filem Mencari Rahmat.
ANTARA adegan dalam filem Mencari Rahmat.

Al Jafree mempertahankan kewajarannya menampilkan dialog ini.

Katanya, ia mendapat pelepasan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Ia bukan bermaksud kasar, tapi ini ekspresi semula jadi seseorang apabila berdepan sesuatu perkara. Ia tak bermaksud yang lain.

“Saya tak berani nak katakan ia gaya baru dalam filem, tapi kalau tengok filem One Two Jaga, ada juga dialog sebegini.

“Ia sebenarnya sudah digunakan dalam filem luar, cuma kita belum meluas lagi. Tapi saya sebenarnya ambil perkataan yang sering kita gunakan setiap hari,” katanya.

Mengulas pemilihan pelakon, Al Jafree mengakui kriteria yang diambil kira ialah pengalaman berlakon drama pentas.

“Nam Ron, Amerul, Fauziah dan lain-lain semuanya berasal daripada teater dan mempunyai bakat yang hebat. Sepanjang sesi jelajah yang dibuat, saya dapati penonton faham dan menikmati apa yang disajikan.

“Tiket untuk menonton hanya berharga RM10 jika dibeli secara dalam talian, manakala secara ‘walk in’ berharga RM15,” katanya.

AMERUL.
AMERUL.

Al Jafree berkata, setakat ini sambutan yang diterima Mencari Rahmat amat menggalakkan.

“Tepukan gemuruh pasti diberikan setiap kali tayangan tamat.

Penonton akan berkongsi perasaan mereka di media sosial, sekali gus menimbulkan minat kepada penonton lain untuk menyaksikannya.

“Filem ini menjalani penggambaran selama 10 hari dan berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Sementara itu, penerbitnya, Zuli Ismail berkata, mereka bersetuju menghasilkan naskhah ini antaranya kerana ia sebuah filem satira yang mengkritik hal sosial, politik, ekonomi, malah hal cinta.

“Ia sangat kena dengan isu hari ini. Isu yang tak pernah tenggelam dek zaman dan ada jalan penyelesaiannya.

“Al Jafree sudah lama kembangkan cerita ini dan perwatakan juga sudah sebati dengan jiwanya. Jadi, kami rasa dia sesuai mengarahkan filem ini.

“Tambahan pula Madnor Kassim selaku Penerbit Eksekutif filem ini turut membantu sebagai pengarah fotografi, jadi gabungan ini kami percaya dapat melahirkan filem yang baik,” katanya.

NAM Ron.
NAM Ron.

Katanya, pelakon yang dimahukan mesti ada latar belakang teater kerana filem ini perlu melalui proses latihan yang baik.

“Selalunya artis yang ada pengalaman teater saja faham betapa pentingnya sesi latihan ini. Watak harus dijiwai sebelum masuk ke set kerana naskah ini memerlukan persembahan yang baik daripada pelakon-

nya. Saya amat berpuas hati dengan lakonan mereka,” katanya.

Zuli berkata, sesi jelajah yang dilakukan sehingga hujung tahun ini adalah sebahagian daripada promosi mereka termasuk promosi daripada mulut ke mulut di media sosial.

“Sasaran penonton kami sepanjang jelajah ini terdiri daripada pelajar filem, peminat filem, ilmuwan dan orang ramai yang mahu merasai pengalaman baru menonton filem.

“Mereka bukan saja berhibur, tapi berpeluang turut serta dalam sesi soal jawab dan beramah mesra dengan pelakon, pengarah, sinematografer dan penerbit.

“Buku Mencari Rahmat: Di Sebalik Lensa juga antara strategi promosi supaya penonton rasa lebih dekat dengan ahli keluarga filem ini di samping menjadi bahan rujukan pada masa depan,” katanya yang berharap dengan ulasan baik yang berterusan sepanjang sesi jelajah membolehkan mereka membawa filem ini ke pawagam.

SHARIFAH Amani.
SHARIFAH Amani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 2:00 PM