SANTESH. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri

Tidak mudah untuk artis bukan Melayu bertahan dalam industri hiburan tempatan, sekali gus mencuri perhatian jutaan peminat menerusi lagu Melayu.

Selepas berjaya mencuri perhatian peminat muzik tanah air menerusi lagu Amalina, Santesh akan kembali dengan single berbahasa Melayu keduanya berjudul Maimunah.

“Kalau Amalina adalah genre pop balada, Maimunah pula berentak dangdut,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun ini, dangdut adalah genre yang dekat dengan lagu Hindi dan dia sendiri meminati penyanyi dangdut, Iwan.

“Kalau diamati, rentak dangdut memang ada persamaan dengan lagu Hindi. Saya yakin mampu membawakan lagu ciptaan Harry Khalifah itu dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan lagu Amalina yang tular dalam kalangan peminat, Santesh berkata, dia berkemungkinan besar menghasilkan muzik video lagu itu dalam versi Tamil pula.

“Video muzik Amalina yang dimuat naik sejak sebulan lalu sudah mencecah jumlah tontonan lebih sembilan juta.

“Selepas ini, saya akan hasilkan video muzik Amalina tapi untuk versi Tamil pula. Ramai peminat terutama dalam kalangan kaum Melayu meminta saya hasilkan lagu ini dalam bahasa Tamil versi yang lebih terperinci,” katanya.

Selain itu, dia juga merancang menghasilkan Amalina dalam versi Mandarin.

“Saya tidak boleh membaca tulisan Cina, tapi jika ditulis mengikut ejaan, rasanya saya boleh,” katanya.

Bakat berlakon

Selain menyanyi, Santesh atau nama sebenarnya Shantesh Kumar juga berbakat besar dalam bidang lakonan terutama sebagai pelawak.

“Sebagai artis Malaysia, menyanyi saja tidak mencukupi untuk terus kekal relevan. Kerana itu, saya juga ada berlakon untuk terus mengembangkan bakat yang ada.

“Terbaru, saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama sempena Deepavali berjudul No Kolam No Deepavali,” katanya.

Namun, keutamaannya masih kepada muzik walaupun ingin mencuba pelbagai cabang seni.

“Saya menyimpan impian untuk menjadi seperti AR Rahman yang sangat berjaya dalam bidang muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 2:59 PM